
Sindiket terbabit dikatakan bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu sebelum kegiatan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Sahar Abd Latif, serbuan kira-kira jam 8 malam itu turut menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 49 tahun.
Katanya, polis juga berjaya merampas heroin seberat 11.95 kilogram dianggarkan bernilai RM160,130, kafein seberat 25 kilogram (RM8,500) dan peralatan memproses dadah.
“Berdasarkan maklumat, kita telah menjalankan risikan ke atas sindiket pemprosesan dadah yang aktif di kawasan Lembah Klang. Polis kemudiannya melakukan serbuan ke atas makmal haram memproses dadah di sebuah kondominium di Mont Kiara dan menahan empat lelaki warga tempatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya, hasil soal siasat terhadap suspek, polis melakukan serbuan susulan di sebuah kuil di Jalan Ipoh dekat sini dan sebuah stor ternakan anjing di Kampung Baru Subang, Shah Alam serta menahan empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 43 tahun.
“Empat lelaki ini ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket terbabit. Saringan air kencing mendapati, dua daripada mereka didapati positif dadah jenis THC, manakala enam suspek lagi negatif dadah.
“Hasil semakan mendapati enam suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Polis turut merampas empat kenderaan. Menerusi tangkapan ini, kita berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah,” katanya.
Sahar berkata, mereka ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama enam hari bermula 21 hingga 26 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.