
Atase akhbar kedutaan Somalia di Malaysia Abdimajit M Osman ketika dihubungi Bernama berkata, hukuman itu dibaca oleh Ketua Mahkamah Angkatan Tentera Hassan Ali Nur Shuuto.
“Namun di bawah sistem kehakiman Somalia, Ahmad Mustakim berpeluang untuk membuat rayuan,” jelas Abdimajit.
Semalam, Bernama melaporkan perbicaraan Ahmad Mustakim bermula pada 2019 dan dia dilayan dengan baik serta mendapat perbicaraan yang adil mengikut undang-undang Somalia.
Ahmad Mustakim dipercayai masuk ke Somalia sekitar 2009 atau 2010.
“Somalia sudah sekian lama dihimpit penderitaan kerana warga asing yang menyokong Al-Shabaab. Kerajaan kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang menjejakkan kaki ke Somalia untuk menyokong kegiatan keganasan.
“Bagaimanapun, Somalia tetap mengalu-alukan rakyat Malaysia yang selalu memberikan bantuan. Somalia dan Malaysia mempunyai sejarah hubungan yang erat. Kerajaan Somalia sentiasa berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara,” katanya.
Abdimajit berkata, Ahmad Mustakim, 34, adalah rakyat Malaysia pertama yang didakwa membantu Al-Shabaab di Somalia.
Sementara itu, Agensi Berita Somali (SONNA) melaporkan mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang lagi warga asing yang ditahan bersama Ahmad Mustakim.
“Ahmad Mustakim membantu kumpulan itu dengan memberikan pertolongan cemas dan mengambil bahagian dalam pertempuran di Mogadishu dan Dhusamareb,” kata agensi itu berdasarkan transkrip terjemahan oleh kedutaan Somalia di Malaysia.
Pada Sabtu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, Kementerian Luar memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap Ahmad Mustakim.
Saifuddin berkata, pegawai kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan sudah pun berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim sentiasa terjaga.
“Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepada beliau (Ahmad Mustakim) dengan memastikan hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya.
“Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak,” katanya.
Al-Shabaab, sekutu paling kuat al-Qaeda, terkenal dengan serangan berprofil tinggi seperti serangan 2013 terhadap Westgate Mall di Nairobi, Kenya selain terbabit dengan pembunuhan ahli politik dan pegawai tentera Somalia.