Kes SUV terhumban di Jambatan P Pinang: Mahkamah tetap keputusan 29 Sept

Kes SUV terhumban di Jambatan P Pinang: Mahkamah tetap keputusan 29 Sept

Mahkamah akan memutuskan sama ada bekas pekerja salon perlu membela diri atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

SUV mangsa ketika dikeluarkan dari laut oleh anggota penyelamat pada 22 Jan 2019. Mahkamah menetapkan 29 September untuk memutuskan sama ada tertuduh, M Vaitheswaran perlu membela diri atau tidak atas tuduhan memandu secara berbahaya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Bukit Mertajam menetapkan 29 September untuk memutuskan sama ada bekas pekerja salon perlu membela diri atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban dari Jambatan Pulau Pinang, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang bertindak sebagai majistret, menetapkan tarikh tersebut selepas peguam bela K Paramanathan yang mewakili M Vaitheswaran memaklumkan beliau hanya menerima hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan semalam.

“Saya ingin meminta mahkamah sedikit tempoh untuk meneliti sebelum membalas hujahan bertulis tersebut,” kata Paramanathan kepada mahkamah hari ini, menurut laporan Bernama.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim.

Mahkamah menetapkan hari ini sebagai hari keputusan akhir kes pendakwaan selepas mendengar keterangan 12 saksi pendakwaan.

Pada 2019, Vaitheswaran, 23, didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng, selepas SUV dipandu mangsa di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Jan, 2019.

Vaitheswaran didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, selain boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

Susulan kejadian 2.54 pagi Ahad 20 Jan 2019 itu, usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Moey dari dasar laut mengambil masa lebih 24 jam, sebelum akhirnya berjaya pada petang Selasa, 22 Jan.

Mayat Moey yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya terpasang, ditemui dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada pukul 6.07 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.