Hospital medan terbesar di negara beroperasi malam ini di P Pinang

Hospital medan terbesar di negara beroperasi malam ini di P Pinang

Hospital medan ini dijangka mampu mengurangkan beban sektor kesihatan di Pulau Pinang susulan peningkatan kadar kematian akibat Covid-19 berbanding populasi di negeri itu.

Hospital medan terbesar di negara ini yang didirikan berdekatan Hospital Pulau Pinang. (Gambar Ihsan Pejabat Ketua Menteri)
GEORGE TOWN:
Hospital medan terbesar negara mula beroperasi pada jam 9 malam ini, selepas mengambil masa sembilan hari untuk didirikan oleh anggota tentera Tentera Darat Malaysia khususnya daripada Kor Kesihatan Diraja didirikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan parkir Hospital Pulau Pinang.

Hospital itu mampu memuatkan 100 katil di kawasan berkeluasan 2,300 meter persegi, dengan 96 daripadanya akan digunakan bagi merawat pesakit Covid-19 tahap tiga dan empat, iaitu yang mempunyai masalah pneumonia dan memerlukan bekalan oksigen. Baki empat katil lagi bagi menempatkan pesakit yang memerlukan rawatan rapi.

Sebelum ini, hospital medan terbesar penggunaan bercampur dengan 80 katil, didirikan di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru. Hospital medan itu masih beroperasi.

Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Dr Mohd Zamri Derahman (kanan) memberi taklimat kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow, dalam lawatan kerja ke kawasan tapak berkenaan. (Gambar Pejabat Ketua Menteri)

Bercakap kepada FMT, Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Dr Mohd Zamri Derahman, berkata terma penggunaan bercampur itu digunakan kerana hospital medan ini mempunyai wad biasa dan wad ICU.

Beliau berkata, hospital itu didirikan 50 anggota ATM, dengan 10 anggota di lapangan bagi membantu kakitangan Kementerian Kesihatan merawat pesakit.

Zamri berkata, hari ini, genap 120 hari selepas pembinaan hospital medan pertama dibuka di Kepala Batas, yang digunakan sepenuhnya untuk wad ICU, membabitkan 24 katil.

Gambar menunjukkan perbandingan sebelum dan selepas kawasan parkir Hospital Pulau Pinang diubah suai menjadi hospital medan siap. (Gambar Ihsan Batalion Kedua Perubatan, Angkatan Tentera Malaysia)

“Kami berharap pembukaan hospital medan ini mampu mengurangkan beban di Hospital Pulau Pinang susulan peningkatan kes jangkitan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Hospital Pulau Pinang Dr Teo Gim Sian, berkata kesemua 50 katil ICU di wad Covid-19 hospital itu sedang digunakan.

Wad biasa menempatkan pesakit Covid-19 pula membabitkan 95% penggunaan, katanya dalam sidang media, tengah hari tadi.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, dan Timbalan Panglima Tentera Darat Arman Rumaizi Ahmad, melawat tapak berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.