
Petisyen itu kini mendapat 2,771 daripada sasaran 5,000 tandatangan.
Selain petisyen itu, alumni PJJ USM turut dilapor memulakan gerakan dengan tanda pagar #prayforpjjusm sebagai bantahan terhadap cadangan yang tersebar di media sosial itu dan mengejutkan ramai bekas pelajarnya.
Menurut gerakan itu, alasan yang dikatakan diberikan pengurusan USM ialah pusat itu didakwa tidak menjana “keuntungan” tinggi dan ini dipertikaikan bekas pelajarnya.
“Mari ramai-ramai, tidak kira sama ada pelajar, graduan atau alumni USM membantah cadangan ini kerana PJJ USM telah berusia 50 tahun yang membawa agenda nasional.
“PJJ USM membantu pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Tindakan ini hadiah jubli emas yang paling menyedihkan buat semua pihak,” kata kumpulan itu berdasarkan laporan Harakahdaily.
Mengikut kenyataan yang tersebar di media sosial, pihak pengurusan USM dikatakan sedang mempertimbangkan beberapa perkara untuk memastikan pelajar PJJ menerima kualiti pengajaran lebih baik.
Cadangan penstrukturan semula pusat pengajian itu dibuat agar semua kakitangan akademik PJJ USM dikembalikan ke pusat pengajian asal supaya mereka lebih kukuh dari aspek akademik.
“Pada masa sama, silibus yang ditawarkan kepada pelajar PJJ pada tahap sama dengan apa yang diajar di pusat pengajian,” menurut kenyataan itu.
Kadar graduasi PJJ yang rendah, iaitu 20% dan kadar kegagalan sesetengah program sehingga 50% juga dikatakan antara punca pengurusan USM bercadang melakukan penstrukturan semula.
Seorang alumni PJJ USM, Dr Che Hamdan Mohd Razali ketika mengulas isu itu berkata, sebagai institusi pengajian tinggi awam, keuntungan tidak patut dijadikan alasan untuk pembubaran PJJ.
Katanya, pusat pengajian itu sudah lama bertapak dan menyediakan ruang kepada individu yang mempunyai pekerjaan tetap melanjutkan pelajaran mereka.
“Lebih wajar pada saat menghadapi keruncingan ekonomi sekarang, langkah awal memikirkan bagaimana mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan program yang ada sekarang tidak merugikan.
“Untuk meruntuhkan sesuatu adalah mudah, namun pertimbangan dari segi objektif asal ia ditubuh dan sumbangan yang diberi sangat dituntut.”
Seorang warganet yang dikenali sebagai Zya Ell Rosse pula berkata, beliau tidak setuju dengan cadangan membubarkan PJJ kerana ia merupakan peluang untuk “student tua meneruskan perjuangan tertangguh”.
“PJJ USM adalah antara yang terbaik di Malaysia dan merupakan PJJ yang menawarkan yuran yang mampu dibayar golongan marhaen.
“PJJ USM juga masih mengekalkan pembelajaran dalam bahasa ibunda. Kami akan sentiasa menyokong PJJ USM,” katanya.