SKMM terima 3,398 aduan penipuan dalam talian, kata Annuar

SKMM terima 3,398 aduan penipuan dalam talian, kata Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sebanyak 960 laman berbentuk 'phishing' telah disekat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 558).

Annuar Musa berkata, polis turut membangunkan aplikasi SemakMule selain laman web yang sama untuk memudahkan masyarakat membuat semakan awal terhadap akaun bank dan nombor telefon yang digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima 3,398 aduan awam berkaitan aktiviti berunsur penipuan sejak tahun 2020 sehingga 31 Julai tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Dalam jawapan lisan menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) di Dewan Rakyat, Annuar berkata kesemua aduan akan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa mereka.

Lim meminta Annuar kementerian menyatakan jumlah kes penipuan dalam talian pada tahun 2020 dan 2021 dan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menangani kes penipuan yang meningkat semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kegiatan penipuan secara dalam talian ataupun luar talian adalah tertakluk di bawah bidang kuasa pihak polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi-agensi berkenaan tertakluk kepada bentuk-bentuk penipuan yang dijalankan,” katanya.

Annuar berkata, dalam tempoh yang sama, 960 laman berbentuk ‘phishing’ telah disekat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 558).

“Ia hasil aduan awam dan kerjasama dari institusi perbankan melalui Internet Banking Task Force (IBTF) yang diketuai oleh BNM.

“Melalui audit pengesahan data dibuat SKMM bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), telah mengesan sebanyak 1,488,092 talian prabayar yang didaftar secara meragukan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut membangunkan aplikasi SemakMule selain laman web yang sama untuk memudahkan masyarakat membuat semakan awal terhadap akaun bank dan nombor telefon yang digunakan oleh sindiket penipuan.

Katanya, satu akaun Facebook iaitu Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police juga telah diwujudkan bagi berkongsi dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman penipuan atau jenayah siber dalam usaha bagi membanteras kes penipuan dalam talian.

Sementara itu, berkenaan status jenayah ini ditukar dari jenayah komersial kepada jenayah terancang, Annuar berkata menurut makluman diterimanya dari Kementerian Dalam Negeri, perkara itu tidak boleh ditukar kerana tidak menepati peruntukan di bawah Kanun Keseksaan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.