KFA kena bayar tunggakan cukai RM10.4 juta, kata Sanusi

KFA kena bayar tunggakan cukai RM10.4 juta, kata Sanusi

Tunggakan cukai tertangguh itu terpaksa ditanggung kerajaan negeri, kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi Md Nor mengenakan jaket Kedah FA selepas mengambil alih jawatan presiden persatuan itu Julai tahun lalu. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Kerajaan Kedah berdepan tunggakan cukai pendapatan lebih RM10 juta membabitkan beberapa pemain dan jurulatih dalam pasukan bola sepak negeri itu bermula musim 2015.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menghantar notis tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM10.4 juta dengan seorang bekas pemain importnya, Liridon Krasniqi, yang mempunyai tunggakan RM1.78 juta.

Beliau bagaimanapun ada mengajukan persoalan kepada LHDN mengapa agensi itu tidak memaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum ini, mereka memaklumkan persatuan ketika itu “enggan bekerjasama”.

Katanya, LHDN kini mahu kerajaan melunaskan tunggakan terbabit selepas kerajaan membayar RM15 juta bagi pembayaran gaji pemain, sejak Sanusi mengambil alih pentadbiran sebagai Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, pihaknya akan berbincang dengan LHDN bagi menghapus kira tunggakan itu susulan kegagalan agensi terbabit menuntut kutipan bayaran pada tahun sebelumnya.

“Selain Sandro dan Liridon, tunggakan cukai tertinggi turut membabitkan Bang Seung Hwan sebanyak RM935,000, Ken Ilso Larson (RM470,000), Chidi Edeh (RM434,000) dan Carlos Kahe (RM346,000).

“Tuntutan tunggakan cukai itu turut membabitkan barisan kejurulatihan import antaranya Ian Gillan dan Stefano Impagliazzo. Sepatutnya kalau ada tunggakan pada 2018 atau 2017, tuntutlah pada tahun itu juga tetapi mereka kata pada masa itu pengurusan KFA lama tidak memberi kerjasama.

“Sekarang apabila pengurusan baharu beri kerjasama, mereka datang longgok semua atas ‘kepala’ kita. Kalau macam itu, teruklah kita kerana KFA bukan buat untung, sebaliknya memajukan sukan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penaja,” katanya dalam sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Sanusi berkata, ketika beliau mengambil alih sebagai Presiden KFA Julai tahun lalu, sejurus dilantik sebagai Menteri Besar, beliau menyelesaikan isu tunggakan pembayaran gaji pemain berjumlah RM15 juta.

Katanya, beliau turut memaklumkan kepada LHDN dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan tunggakan bayaran dijadual semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.