Isu tanah runtuh bukan ‘alasan’ naik harga sayur, tegas KPDNHEP

Isu tanah runtuh bukan ‘alasan’ naik harga sayur, tegas KPDNHEP

KPDNHEP beri jaminan bekalan sayur-sayuran bagi pasaran tempatan tidak terjejas.

Menurut KPDNHEP kenaikan harga lima jenis sayur seperti dilaporkan seperti sawi, cili, lada benggala dan beberapa jenis salad adalah kes di lokaliti terbabit dan tiada kena mengena dengan kejadian tanah runtuh.
PETALING JAYA:
Kejadian tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menghala ke Cameron Highlands pada Ahad lalu tidak boleh dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga bekalan sayuran di pasaran, tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP berkata, ini kerana berdasarkan makluman Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta, Jalan Persekutuan FT 059 Jalan Tapah-Cameron Highlands dikenal pasti sebagai laluan alternatif membawa bekalan sayuran hasil dari ladang Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya ke pusat pengedaran di seluruh negara.

“KPDNHEP ingin memberi jaminan bahawa bekalan sayur-sayuran bagi pasaran tempatan tidak terjejas. Pengguna dan peniaga yang menggunakan bahan mentah tersebut diminta tidak panik serta situasi ini tidak boleh dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga di pasaran,” menurut kementerian itu dalam kenyataan.

KPDNHEP berkata, berdasarkan pemeriksaan oleh penguat kuasa kementerian pada 21 Sept terhadap 685 premis meliputi semua rantaian bekalan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit, mendapati bekalan sayur-sayuran di pasaran adalah stabil dan mencukupi.

Malah kementerian itu berkata, kenaikan harga lima jenis sayur yang dilaporkan seperti sawi, cili, lada benggala dan beberapa jenis salad adalah kes lokaliti tersebut dan tiada kena mengena dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku.

“Ini turut disahkan oleh Setiausaha Agung, Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia yang harga sawi naik hari ini dan turun keesokan harinya bergantung kepada permintaan dan harga akan stabil jika cuaca sudah pulih.

“Peniaga sayur dinasihatkan untuk tidak menaikkan harga sayur-sayuran sewenang-wenangnya dan pengguna diminta turut sama memantau serta menyalurkan maklumat aduan secara rasmi berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP melalui saluran aduan yang disediakan,” menurut kementerian itu.

Sebarang aduan boleh disalurkan ke 019-279 4317 atau hubungi pusat talian KPDNHEP di 1-800-886-800 atau emel kepada [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.