
SKMM berkata pengguna yang dihubungi akan diminta untuk memberikan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor kad ATM dan tiga nombor di belakang kad ATM kepada pihak yang tidak dikenali itu.
SKMM dalam kenyataan hari ini mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan atau SMS yang diterima daripada pihak tidak dikenali dan mencurigakan.
“SKMM menggesa orang awam untuk tidak memberi atau mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali dan pada masa yang sama, segera laporkan perkara itu kepada pihak berkuasa seperti polis untuk perhatian dan tindakan susulan,” katanya.
Jaringan Prihatin adalah inisiatif di bawah Belanjawan 2021 untuk 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mendapatkan bantuan bagi perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih.
Suruhanjaya itu berkata orang awam boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung insiden penipuan (scam) kepada pihak PDRM melalui talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 yang dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.
Sementara itu SKMM berkata pihaknya dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah menganjurkan Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Telekomunikasi melibatkan penipuan melalui panggilan telefon dan SMS pada 14 Jun lepas untuk mendidik pengguna mengenal pasti aktiviti penipuan dan langkah yang boleh diambil bagi menghalang cubaan penipuan (scam).
SKMM berkata fokus kempen kesedaran itu terarah kepada tiga modus operandi jenayah telekomunikasi iaitu penipuan panggilan (vishing), penipuan SMS (smishing) dan penipuan kod transaksi pengesahan (TAC).