
Beliau turut mempersoalkan bentuk sebenar reformasi Parlimen yang digembar-gemburkan tanpa mengambil kira “budaya” Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Bagaimana dengan budaya Ahli Parlimen? Ia juga mesti berubah. Ia berkaitan tingkah laku. Kalau setakat perubahan struktur, itu reformasi kulit sahaja.
“Semalam, sidang Parlimen terpaksa dihentikan 7 minit kerana tidak cukup kuorum. Ia amat memalukan. Bila gejala ini akan berakhir,” katanya di Facebook.
Puad berkata, kejadian tidak cukup kuorum sudah berulang kali berlaku kerana “kesibukan” Menteri.
“Apakah menteri sibuk? Bukankah menteri ada pejabat di Parlimen? Apakah bilik pejabat tidak cukup kerana menteri ramai sangat?” katanya sinis.
Semalam, sidang Parlimen ditangguhkan beberapa minit kerana tidak cukup kuorum, sekali gus memaksa loceng dibunyikan untuk memanggil Ahli Parlimen masuk.
Minimum persidangan Parlimen memerlukan 26 Ahli Parlimen, namun semasa insiden semalam hanya 19 Ahli Parlimen sahaja hadir. Persidangan bersambung semula selepas 27 Ahli Parlimen masuk ke dewan selepas itu.
Mengulas lanjut Puad berkata, antara reformasi Parlimen yang perlu dipertimbangkan segera membabitkan kehadiran menteri secara mandatori di Parlimen.
“Mesyuarat mesti buat di Parlimen. Majlis rasmi kementerian diwakilkan kepada KSU (Ketua Setiausaha kementerian). Tiada aktiviti luar KL (Kuala Lumpur), kecuali lawatan bencana,” katanya.
Dalam pada itu, Puad turut menyelar Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, yang disifatkannya tidak mampu membawa reformasi Parlimen.
Puad merujuk kenyataan Azhar yang menyatakan beliau menolak dakwaan ditekan selepas membatalkan jemputan terhadap Nga Kor Ming sebagai timbalan speaker sementara dengan berkata, beliau tidak didorong atau ditekan untuk menukar fikiran dan hanya menggunakan kuasa untuk mengubah keputusan itu.
“Bab itu guna kuasa. Bab lain tak mahu guna kuasa. Kononnya tidak ada kuasa. Selagi Azhar kekal speaker, tidak payah mimpilah reformasi Parlimen akan berlaku,” katanya.