Persidangan penuntut dijangka bawa pembaharuan

Persidangan penuntut dijangka bawa pembaharuan

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) yang dianggap mengongkong kebebasan akademik, dijangka menjadi tumpuan utama perbincangan.

Persidangan Kepemimpinan Penuntut Kebangsaan (NaSLeC) 2021 dijangka membincangkan pelbagai isu termasuk pembaharuan dalam bidang pendidikan tinggi, selain Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971).
PETALING JAYA:
Persidangan penuntut universiti yang dijadualkan bermula hujung minggu ini dijangka membuka ruang kepada pesertanya membincangkan isu yang memberi kesan terhadap mereka, sekaligus berpotensi membawa perubahan undang-undang berkekalan yang relevan.

Persidangan Kepemimpinan Penuntut Kebangsaan (NaSLeC) 2021 secara maya yang dijadualkan untuk dua hujung minggu ini, dijangka menumpukan kepada perbincangan mengenai pembaharuan dalam pendidikan tinggi, masa depan penuntut universiti dalam era pascawabak, dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971).

AUKU 1971 khususnya dijangka menjadi topik utama dalam persidangan itu. Menjelang penghujung NaSLeC 2021, penganjur berharap perbincangan yang diadakan dapat membawa kepada pembentukan kertas kerja asas bagi menangani beberapa isu berkaitan peruntukan undang-undang itu, yang akan dikongsikan dengan pihak-pihak berkepentingan.

Akta itu sebelum ini dikritik hebat kerana dilihat mengongkong kebebasan akademik dan mengehadkan kebebasan bersuara.

Ahli akademik dan penuntut sebelum ini dilarang terlibat dengan isu politik sensitif, seterusnya ini dianggap mengehadkan kemampuan orang muda memperluaskan perspektif mereka ketika melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Beberapa pemimpin belia dan ‘influencer’ turut dijemput berucap dalam persidangan terbabit, termasuk pengasas Undi18 Qyira Yusri, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, Ketua Pegawai Eksekutif Pemimpin GSL Cheryl Ann Fernando dan penyampai radio JJ Fernandez.

Persidangan itu juga dijangka memberi menjadi platform untuk penuntut bercakap secara terbuka mengenai kebimbangan dan aspirasi mereka dalam sektor pendidikan. Ini sekaligus diharapkan membuka ruang kepada perbincangan ilmiah mengenai dasar yang memberi kesan terhadap semua pihak berkepentingan dalam pendidikan tinggi, termasuk pentadbir dan pendidik.

Ia juga bertujuan mencetuskan pemikiran kritis dengan menggalakkan mereka mencari penyelesaian tuntas kepada permasalahan yang dihadapi.

Selain itu, penuntut juga akan berpeluang menjalinkan hubungan dengan pemimpin muda seterusnya membina jaringan kukuh dalam persekitaran tanpa didominasi parti politik.

NaSLeC 2021 adalah landasan sempurna bagi orang muda yang berminat membawa perubahan, atau berhasrat memulakan perjalanan baharu dalam mendukung pergerakan penuntut.

Yuran masuk adalah percuma dan mereka yang berminat boleh mendaftar di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.