Pahang tak terima permohonan, bincang cadangan bina taman tema di Cameron Highlands

Pahang tak terima permohonan, bincang cadangan bina taman tema di Cameron Highlands

Ia susulan bantahan NGO yang mahu kerajaan negeri menolak cadangan membina taman tema bernilai RM100 juta di kawasan seluas 60 ekar di Cameron Highlands.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemaju perlu mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri sebelum memulakan sebarang projek berskala besar, walaupun status tapak adalah milik persendirian.
KUANTAN:
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri tidak pernah menerima permohonan daripada syarikat yang mendakwa ingin membina taman tema di Cameron Highlands.

Katanya, cadangan pembinaan taman tema itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco negeri.

“(Perkara itu) tidak betul…tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pun, tanya Setiausaha kerajaan negeri (Sallehuddin Ishak), tanya Exco kerajaan negeri yang lain…tidak pernah dibincangkan dan tidak ada permohonan pun,” katanya mengulas bantahan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu kerajaan Pahang menolak cadangan membina taman tema di kawasan tanah tinggi berkenaan.

“Bagus juga bila ada NGO bantah, ada peluang untuk kita jawab. Kalau tidak, kita pun tidak tahu…tapi hakikatnya, perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam (mesyuarat) Exco, tidak ada permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri,” tegasnya.

Mengenai status tapak cadangan pembinaan taman tema itu yang dikatakan milik persendirian, Wan Rosdy berkata, mereka tetap perlu mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri.

“Walaupun itu tanah persendirian, tidak bermakna mereka (pemilik) boleh membuka taman tema, selagi tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri.

“Mereka tetap kena ‘submit’ permohonan…tanah persendirian tidak bermakna mereka boleh bina kilang senjata api, kilang bom sesuka hati. ‘Even’ tanah sendiri pun, jika ada kayu balak, dia tetap kena dapatkan kebenaran kerajaan negeri sebelum mengeluarkan hasil (kayu balak) itu.”

Media sebelum ini melaporkan cadangan membina taman tema bertemakan ski bernilai RM100 juta di kawasan seluas 60 ekar di Cameron Highlands mendapat bantahan disebabkan kesannya terhadap alam sekitar.

Laporan itu menyebut, pemaju taman tema, Sim Leisure Group pada awal Ogos lalu dilaporkan berhasrat membina sebuah taman tema bernama “ESCAPE Cameron Highlands”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.