
Panel tiga hakim yang dianggotai Has Zanah Mehat, Mohd Sofian Abdul Razak dan Lee Heng Cheong berkata, saman Mohd Khairul Azam Abdul Aziz “jelas tidak dapat dipertahankan” kerana tidak mendedahkan kuasa tindakan yang tepat.
Has Zanah, pengerusi panel berkata, kuasa lembaga itu mengampunkan Anwar tidak terhad kepada hukuman, tetapi bagi sabitan juga.
“Ada merit dalam rayuan ini. Kami ketepikan keputusan Mahkamah Tinggi (pada) 21 Sept. Saman ini juga dibatalkan,” katanya ketika membenarkan rayuan oleh Anwar dan lembaga berkenaan.
Has Zanah berkata, panel bersetuju dengan peguam Anwar dan lembaga bahawa kuasa pengampunan tidak boleh diadili di mahkamah dan Khairul tiada kedudukan dari sudut undang-undang untuk memfailkan tindakan tersebut.
Katanya, hakim Mahkamah Tinggi silap kerana tidak mengikut senarai undang-undang kes mengenai perihal ini seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada masa lalu.
Menurut beliau, kuasa pengampunan dilindungi bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, dalam memberikan pengampunan kepada Anwar, hak undang-undang atau sebarang kepentingan Khairul tidak terjejas.
“Responden (Khairul) tiada kedudukan untuk mempersoalkan pengampunan atau nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengampuni perayu (Anwar),” katanya.
Panel juga memutuskan bahawa komposisi lembaga berkenaan dibentuk dengan tepat menurut Perlembagaan.
Peguam Gopal Sri Ram dan J Leela mewakili Anwar, manakala lembaga diwakili peguam kanan persekutuan Suzana Atan dan S Narkunavathty.
Khairul diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Ketika menolak permohonan kerajaan dan Anwar untuk membatalkan saman tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir berkata, keterangan perlu dikemukakan dan pihak-pihak berhak untuk memeriksa balas saksi.
Khairul memohon deklarasi bahawa pengampunan yang diberikan kepada Ketua Pembangkang itu bercanggah dengan undang-undang kerana Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan tidak ditubuhkan secara sah ketika itu.
Anwar dalam sidang media pada 16 Mei 2018 berkata, Agong telah memberikan pengampunan penuh kepadanya bagi tiga sabitan – satu untuk penyalahgunaan kuasa, dan dua untuk liwat – dengan alasan terdapat “salah laksana keadilan”.
Beliau berkata, pengampunan itu juga diberikan atas alasan ada konspirasi untuk menjatuhkan beliau dan “membunuh” karakter politiknya.