
Beliau berkata, usul itu penting bagi mengesahkan sama ada Ismail mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau tidak.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
“Kalau betul kita semua junjung titah Agong, hendaklah laksana titah Agong ini supaya adakan usul undi percaya di Dewan Rakyat ini.
“Ini untuk sahkan Yang Berhormat (Ismail) dapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat selaras titah Agong pada 18 Ogos lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Hanipa berkata, kenyataan Peguam Negara, Idrus Harun mengenai pelantikan perdana menteri baharu tidak memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Agong, disifatkan tidak ada masalah untuknya terima kenyataan itu.
Beliau berkata, ini kerana itu adalah hakikat dalam undang-undang.
Bagaimanapun, Hanipa berkata, baginya isu itu bukan sahaja melibatkan undang-undang semata-mata tetapi mengenai isu ‘good practice’ (amalan baik).
“Amalan yang baik yang cuba diperkenalkan oleh Agong dalam konteks kita hadapi satu kemelut politik yang berpanjangan.
“Saya rasa ini bukan perkara luar biasa. Bagi saya tak ada masalah adakan undi percaya ini dan sebagai sebuah kerajaan yang nampak bersungguh mengatakan ingin untuk memperakui Raja-Raja Perlembagaan sepatutnya kita ambil berat titah Agong.
Pada 4 Sept lalu, Idrus berkata pelantikan perdana menteri baharu tidak memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Agong.
Idrus berkata, sekiranya pelantikan perdana menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada baginda, ini bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi oleh pihak lain.
Terdahulu pada 18 Ogos lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah perdana menteri yang dilantik menerusi surat akuan ahli Dewan Rakyat hendaklah “secepat mungkin” mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.
Istana Negara dalam kenyataan pada tarikh demikian, berkata langkah itu bertujuan mengabsahkan individu berkenaan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Katanya, surat akuan 220 ahli Dewan Rakyat hanya bertujuan membantu baginda membuat keputusan melantik seorang Ahli Parlimen yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.