
Abdul Aziz Bari berkata, belia Malaysia adalah produk zaman moden.
“Mereka bukan produk zaman Jepun, bukan zaman 13 Mei, bukan produk Dasar Ekonomi Baharu,” kata ADUN Tebing Tinggi itu pada webinar yang dianjurkan malam tadi.
Katanya lagi, inisiatif itu dapat membentuk belia menjadi pemimpin masa depan yang akan menjadikan Malaysia lebih baik.
Aziz, seorang pakar undang-undang perlembagaan, juga menjangkakan bahawa Dewan Rakyat akan dipenuhi lebih ramai Ahli Parlimen muda selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Minggu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mematuhi perintah untuk membuat pendaftaran mengundi secara automatik dan menurunkan usia pengundi kepada 18 tahun menjelang 31 Dis sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching awal bulan ini.
Kata Aziz lagi, pelaksanaan Undi18 akan membuka jalan bagi pengenalan semula pilihan raya kerajaan tempatan, yang menurutnya adalah satu “keperluan”.
Pembayar cukai pintu katanya, patut diberi kuasa mengundi.
“Ini dapat bantu akhiri rasuah dan kualiti perkhidmatan rendah yang menjadi masalah kerajaan tempatan disebabkan ahli majlis tempatan tidak dipilih oleh rakyat.”
Pada 2018, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melaksanakan pilihan raya majlis tempatan dengan alasan kemungkinan berlakunya konflik berkait kaum di negara ini, walaupun cadangan itu disokong parti-parti komponen PH, terutamanya DAP berdekad lamanya.