
Beliau berkata, keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri perlu diteliti Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
“Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa dalam PPN negeri berkenaan.
“Tapi syor datang daripada menteri bertanggungjawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat, termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik, serta mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19,” katanya selepas meninjau Program Vaksinasi “Back To School” di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn di sini.
Pada 14 Sept lalu, Hishammuddin mengumumkan kerajaan kini di peringkat akhir perancangan untuk mengurangkan SOP PPN daripada 181 sekarang kepada 10 bagi memudahkan orang ramai memahaminya.
Dalam pada itu Hishammuddin berkata, mesyuarat kedua Menteri Kuartet Covid-19 yang melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan dirinya akan diadakan esok.
“Mesyuarat akan memberi fokus terhadap usaha mempermudahkan 181 SOP kepada 10 SOP, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini.”
Katanya, mesyuarat esok turut menjemput Menteri Pelancongan Nancy Shukri bagi memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan lain.
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu juga akan hadir esok bagi menerangkan potensi kelonggaran lain dalam sektor sukan.
Hishammuddin berkata, Radzi dijadualkan memberi taklimat kepada Menteri Kuartet pada minggu depan mengenai vaksinasi dalam kalangan pelajar serta perkembangan terkini menjelang pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 3 Okt depan.