Polis rampas 174 guni bahan proses dadah bernilai RM50 juta, tahan 7 individu

Polis rampas 174 guni bahan proses dadah bernilai RM50 juta, tahan 7 individu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain berkata, kesemua mereka yang berumur 27 hingga 57 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan di Selangor antara 10 hingga 16 Sept lepas.

Razarudin Husain berkata dadah yang dirampas dipercayai bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah juga luar negara seperti Qatar serta Hong Kong. (Gambar Bernama)
SERDANG:
Polis menahan lima lelaki serta dua wanita disyaki terlibat dalam sindiket mengedar dadah, dan merampas bahan dipercayai kokain seberat 4.87kg, serta 174 guni mengandungi serbuk keperangan disyaki bahan-bahan bagi memproses dadah, yang dianggarkan bernilai lebih RM50 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 27 hingga 57 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan di Selangor antara 10 hingga 16 Sept lepas.

Beliau berkata, 174 guni mengandungi serbuk keperangan seberat 5.5 tan itu ditemui dalam serbuan di sebuah rumah kedai, dan ujian awal mendapati serbuk itu adalah salah satu bahan kimia untuk membuat syabu dan MDMA.

Menurutnya, dadah yang dirampas dipercayai bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah untuk pasaran luar negara seperti Qatar serta Hong Kong, dan polis turut merampas beberapa kenderaan, sejumlah wang tunai serta jam tangan dianggarkan bernilai RM1.22 juta.

“Sindiket ini telah bergiat aktif lebih enam bulan dan mereka mempunyai pembeli dari dalam dan luar negara.

“Kami juga masih menjalankan siasatan untuk memastikan asal dadah jenis kokain ini sama ada dari Colombia, Mexico, Amerika Syarikat atau negara lain,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini.

Razarudin berkata ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.