Negeri Sembilan mampu beralih ke Fasa 4 PPN, kata MB

Negeri Sembilan mampu beralih ke Fasa 4 PPN, kata MB

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata antara indikator dilihat adalah tahap penggunaan alat bantuan pernafasan dan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang berada di bawah 50%.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, kadar jangkitan Covid-19 di negeri itu merupakan kadar kedua terendah dalam negara dan menunjukkan peluang cerah untuk beralih ke Fasa Empat PPN.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, negeri itu dilihat mampu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasarkan beberapa indikator berkaitan penggunaan fasiliti kesihatan ketika ini.

Beliau berkata, antara indikatornya adalah tahap penggunaan alat bantuan pernafasan dan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta penggunaan pusat kuarantin di negeri itu yang berada di bawah 50%, manakala katil hospital pula mencatatkan kadar penggunaan di bawah 65%.

“Menurut portal Covid-19 Kementerian Kesihatan (KKM) (covidnow.gov.my), Negeri Sembilan juga mencatatkan 2.6 kes per 1,000 orang wabak itu, iaitu kadar kedua terendah dalam negara dan menunjukkan peluang cerah untuk beralih ke Fasa 4 PPN,” katanya di Facebook.

Pada 17 Sept lepas Aminuddin dilaporkan berkata, Negeri Sembilan dijangka beralih ke Fasa 4 PPN dalam tempoh seminggu lagi susulan negeri itu mencapai tahap imuniti kelompok dengan lebih 90% individu melengkapkan dos kedua, namun ia perlu mengambil kira bilangan kes positif Covid-19 harian.

Sementara itu beliau berkata, 93.1% atau 757,897 penduduk di negeri itu telah lengkap divaksin manakala 101.1% (823,163) menerima dos pertama vaksin setakat semalam.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa 4 PPN dengan cepat, sekali gus dapat merancakkan semula ekonomi penduduk dan negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.