Kematian tertinggi di Sarawak semalam kes tertunggak, kata Uggah

Kematian tertinggi di Sarawak semalam kes tertunggak, kata Uggah

Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata, kelewatan melaporkan kematian itu disebabkan bedah siasat perlu dilakukan untuk memastikan sama ada ia akibat Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, negeri itu mengatur langkah lebih agresif dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai Covid-19 menjelang peralihan ke fasa endemik.
KUCHING:
Jumlah kematian harian tertinggi sebanyak 20 kes yang diumumkan di Sarawak semalam melibatkan kes tertunggak yang lewat dilaporkan berikutan beberapa faktor dan ia tidak menggambarkan keadaan sebenar di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, daripada 20 kematian yang dilaporkan itu, 11 berlaku pada 17 Sept, empat pada 18 Sept, dua pada 15 Sept dan masing-masing satu kematian pada 6, 7 dan 16 Sept.

“‘Backlog’ atau kelewatan dalam melaporkan kematian itu kerana pihak hospital perlu melakukan bedah siasat untuk memastikan dan mengetahui sama ada ia berpunca daripada Covid-19 atau tidak,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam Covid-19 di sini.

Sementara itu, Uggah berkata, Sarawak mengatur langkah lebih agresif dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai Covid-19 menjelang peralihan ke fasa endemik yang dijangkakan selewatnya-lewatnya hujung tahun ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam Covid-19 yang diketuai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia seperti Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA), Jabatan Penerangan dan Radio Televisyen (RTM) ditubuhkan untuk merealisasikan hasrat itu.

Katanya, pendekatan lebih efektif dan sistematik seperti pendidikan kesihatan awam dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan dilaksanakan supaya rakyat memahami keadaan sekarang dan bagaimana mereka boleh menyesuaikan diri dengan norma baharu di fasa endemik kelak.

“Sekarang, kita berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), maklumat yang tepat mesti sampai kepada semua lapisan masyarakat. Justeru, jawatankuasa ini akan memastikan semua rancangan diatur akan dilaksanakan dengan berkesan.”

Berhubung pemberian vaksin dos tunggal CanSino di kawasan pedalaman Sarawak, Uggah berkata, bekalan vaksin itu akan tiba esok serta lusa di Kuching, dan seterusnya dihantar ke kawasan terlibat.

Vaksin berkenaan sesuai untuk program imunisasi Covid-19 di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi, terutamanya dalam kalangan masyarakat Penan di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.