
K Devaaswin dituduh membunuh Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan Nur Afiqah Abdul Karm, 18 di KM8.6 lebuh raya berkenaan pada kira-kira 1.50 pagi, 12 Sept.
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan majistret Nur Faizah Abdul Sani memandangkan mahkamah berkenaan tiada bidang kuasa untuk membicarakan kesalahan itu yang membawa hukuman mati.
Kes dijangka dibicarakan di Mahkamah Tinggi kelak.
Faizah menetapkan sebutan kes pada 21 Okt sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan Puspakom.
Tertuduh diwakili peguam R Pushpa and K Tanuja, sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar.

Pushpa berkata, anak guamnya akan direman di penjara memandangkan ini adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“Bagaimanapun, saya telah memaklumkan kepada majistret bahawa Devaaswin akan dirujuk kepada doktor kerana dia tidak sihat,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.
Terdahulu dilaporkan dua remaja terbunuh setelah kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pikap yang dipandu melawan arus di Lebuhraya Persekutuan.
Pemandu kenderaan pikap berkenaan disyaki khayal dadah.
Mangsa-mangsa, iaitu seorang gadis berusia 18 tahun yang memandu dan penumpang lelakinya berusia 19 tahun, sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Klang.
Beberapa klip video kejadian itu yang dirakam pengguna jalan raya lain disebarkan di media sosial semalam.