78% pelajar IPT tak rasa tertekan dengan PdP dalam talian, kata menteri

78% pelajar IPT tak rasa tertekan dengan PdP dalam talian, kata menteri

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh jabatan pendidikan tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia.

Noraini Ahmad berkata, dapatan awal kajian yang dijalankan kementeriannya mendapati 92.8% IPT di negara ini mempunyai sistem pengurusan pembelajaran (LMS) untuk menjalani PdP dalam talian.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata, kajian yang sedang dijalankan kementeriannya mendapati 78.4% pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tidak berasa tertekan dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Noraini berkata, kajian itu dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bermula pada 15 November tahun lalu dan kini berada di peringkat akhir.

“Berhubung kesan terhadap emosi pelajar, dapatan awal menunjukkan 78.4% pelajar tidak berasa tertekan dengan PdP dalam talian.

“Dapatan kajian ini akan digunakan oleh KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) untuk menghasilkan satu ‘White Paper on the Future of Online Learning in Higher Education’,” katanya di Dewan Rakyat sambil menambah kertas putih itu dijangka diterbitkan pada November ini.

Noraini berkata, kajian itu bertujuan mengenal pasti faktor yang mempengaruhi kualiti, keberkesanan dan kesediaan PdP dalam talian membabitkan kategori responden utama termasuk pelajar, tenaga pengajar, kakitangan sokongan dan pihak pentadbir institusi.

Beliau juga berkata, kajian itu mendapati 92.8% IPT di negara ini mempunyai sistem pengurusan pembelajaran (LMS) untuk menjalani PdP dalam talian, dengan 62% IPT membangunkan LMS secara sendiri.

Hatta Ramli (PH-Lumut) bertanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula sistem pendidikan universiti agar lebih berorientasikan dalam talian berdasarkan dapatan yang diterima KPT melalui kajian itu.

Beliau berkata, kaedah itu mungkin akan membantu universiti dan pelajar mengurangkan kos selain membolehkan lebih ramai individu berupaya membiayai pendidikan mereka sendiri.

Noraini berkata, PdP dalam talian akan memberi fleksibiliti dalam pengambilan pelajar mengikut kesesuaian program.

“Sudah semestinya fleksibiliti ini akan meningkatkan pengambilan pelajar,” katanya.

Katanya, KPT baru-baru ini mengumumkan pengurangan yuran sebanyak 20% kepada semua universiti awam. Namun katanya, kajian mendalam akan dijalankan untuk melihat semula struktur yuran keseluruhan pengajian berdasarkan dapatan positif berhubung kualiti PdP dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.