
Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan perkara itu dalam satu kenyataan susulan masih terdapat kekeliruan berkaitan pengoperasian tadika swasta dan pusat perkembangan minda di negeri berkenaan.
“KPM ingin menjelaskan bahawa semua tadika swasta, tadika di sekolah swasta, tadika di sekolah antarabangsa dan tadika di sekolah ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi murid berumur empat hingga enam tahun di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 telah dibenarkan beroperasi mulai 17 September 2021 untuk anak-anak yang ibu bapa atau penjaga bekerja.
“Pengoperasian ini tertakluk kepada kapasiti bilik darjah dengan penjarakan fizikal yang ditetapkan. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” kata KPM dalam kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada minggu lalu memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju memberi kelonggaran SOP untuk beberapa sektor sosial, pendidikan dan rekreasi.
Sebelum ini juga dilaporkan tadika swasta dan pusat perkembangan minda kanak-kanak akan dibuka jika semua kakitangan terlibat sudah lengkap menerima suntikan vaksin.