Bukan terhad RM18.24j, lebih RM200j lagi bakal diterima Sabah, kata pembantu menteri kewangan

Bukan terhad RM18.24j, lebih RM200j lagi bakal diterima Sabah, kata pembantu menteri kewangan

Nizam Abu Bakar Titingan berkata ini membabitkan kira-kira RM147 juta untuk baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir, dan kira-kira RM83 juta lagi bagi pengurusan bencana Covid-19.

Peruntukan diumumkan itu hanya permulaan bantuan pengurusan bencana secara berterusan yang dijamin kerajaan persekutuan, kata Pembantu Menteri Kewangan negeri, Nizam Abu Bakar Titingan.
KOTA KINABALU:
Bantuan RM18.24 juta diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kepada Sabah adalah peruntukan bencana segera, dengan jumlah keseluruhan bagi pengurusan bencana di negeri itu sebenarnya membabitkan lebih RM200 juta.

Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan, berkata peruntukan keseluruhan itu membabitkan kira-kira RM147 juta bagi baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir, manakala kira-kira RM83 juta lagi untuk pengurusan bencana Covid-19.

“Perdana Menteri dalam lawatannya ke Sabah baru-baru ini juga memberi jaminan bahawa kerajaan persekutuan akan memberi lebih banyak bantuan kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Nizam meminta mana-mana pihak termasuk ahli politik menyemak fakta sebenar sebelum mengulas peruntukan segera bencana RM18.24 juta yang disampaikan Ismail, Khamis lalu.

Katanya, peruntukan itu hanyalah permulaan bantuan pengurusan bencana secara berterusan yang dijamin kerajaan persekutuan.

“Peruntukan itu adalah untuk keperluan segera pengurusan bencana termasuk Covid-19 di negeri ini, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah telah menerima RM8 juta untuk bantuan bencana, sebelum ini,” katanya.

Nizam berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dari DAP, yang mempersoal tindakan kerajaan persekutuan hanya memberikan RM18.24 juta untuk bantuan bencana di Sabah, berbanding RM78 juta bagi membantu mangsa banjir di Kedah.

Beliau turut menasihatkan Chan supaya menyemak fakta sebenar tentang perkara itu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Khamis lalu, bersempena Hari Malaysia, kerajaan persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan RM18.24 juta kepada Sabah, yang disampaikan Ismail, bagi melancarkan proses pengurusan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat terjejas di negeri ini sentiasa dipelihara.

Ismail berkata, peruntukan berkenaan adalah bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000), pembelian 2,500 unit C-Tent (RM961,250), operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (RM20,000), operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1.1 juta) dan pengurusan operasi Covid-19 sebanyak RM16 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.