
Beliau berkata, sehingga semalam, Malaysia merekodkan 78.2% daripada populasi dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.
“Tumpuan ketika ini kepada negeri-negeri, bagi mencapai sekurang-kurangnya 60% populasi dewasa lengkap divaksinasi menjelang akhir September.
“Kadar liputan vaksinasi pada bulan ini juga lebih tinggi di beberapa negeri setelah usaha pemvaksinan ditumpukan kepada negeri-negeri yang sebelum ini masih mencatat kadar lebih rendah seperti Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, Arena Larkin, di sini.
Turut mengiringi beliau Presiden OKU Sentral Ras Adiba Radzi, yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Adham menjelaskan liputan vaksinasi di kebanyakan negeri ketika ini berada di landasan yang baik terutamanya di Sarawak, Labuan dan di Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna usaha vaksinasi diperlahankan sebaliknya lebih tertumpu kepada negeri dan kawasan tertentu termasuk menyasarkan kumpulan tercicir.
“Kadar vaksinasi (harian) negara yang dicatatkan sehingga semalam adalah sebanyak 232,559 dos dengan jumlah terbesar diberi di Sabah, Johor dan Lembah Klang,” katanya.
Mengenai vaksinasi melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU), Adham berkata mengikut data pasukan petugas khas imunisasi Covid-19 (CITF), seramai 517,447 atau 89.9% daripada 575,564 OKU telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Sementara itu, seramai 401,425 OKU telah lengkap vaksinasi penuh meliputi 69.74% daripada jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi, katanya.
Katanya, PPV juga akan mula dibuka untuk orang ramai secara ‘walk-in’ pandu lalu mulai esok sehingga 30 September ini.