
United Kingdom National Contact Point (UKNCP) memutuskan beberapa isu dibangkitkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan UNI Global Union terhadap HSBC Bank Malaysia itu mempunyai merit untuk siasatan lanjut.
Setiausaha Agung NUBE, J Solomon, berkata UKNCP dalam kenyataan mengenai keputusan itu yang dikeluarkan pada 15 September lalu, juga akan dibawa ke peringkat siasatan lanjut atau proses mediasi.
“NUBE dan UNI Global Union akan memberikan kerjasama susulan kepada UKNCP. Kami optimis bahawa keputusan positif dan membina akan dicapai demi kepentingan terbaik ahli NUBE dan pekerja bank di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Antara aduan itu merangkumi dakwaan sengaja melewatkan rundingan semasa proses perundingan bersama, mengganggu dan menjadikan ahli NUBE dan wakil kesatuan sebagai mangsa, menghalang wakil kesatuan sekerja ke ruang kerja dan pekerjaan, dan gagal mengambil bahagian dalam proses penyelesaian sengketa dengan NUBE.
Selain itu, proses penyumberan keluar kerja termasuk yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan.
Solomon berkata, NUBE terpaksa mengemukakan masalah itu kepada UKNCP kerana pihak berkuasa tempatan termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia gagal membantu mencari penyelesaian konstruktif terhadap isu dibangkitkan, sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, UKNCP dalam penilaian asasnya terhadap isu itu menegaskan keputusan menerima aduan terhadap HSBC Malaysia bukan bererti satu penemuan muktamad terhadap bank berkenaan.
HSBC Malaysia dalam kenyataan pula berkata, beberapa isu dikemukakan kepada UKNCP sedang dalam pertimbangan mahkamah dan Kementerian Sumber Manusia.
“HSBC akan tetap terikat dengan proses perundangan dan legislatif sewajarnya.
“Kami memandang serius perkara seperti ini. Disebabkan itu kami menganggap wajar, selain dalam kepentingan semua pihak, untuk menyelesaikan mediasi sedia ada di Malaysia serta semakan kehakiman sebelum meneruskan proses berasingan,” kata kenyataan itu.