
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, berkata sehingga kini 400 syarikat sudah menyertai AiVAC, yang berperanan menjadi pendekatan berterusan demi menjamin rantaian bekalan makanan negara tidak terjejas.
“Sehingga kini, 10,000 pekerja menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin di bawah AiVAC, manakala 7,000 pekerja akan divaksin menjelang 27 September ini,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi pusat operasi AiVAC di dewan serbaguna, di Kampung Raja, di sini.
Kiandee turut melawat ladang sayur-sayuran bebas racun perosak, dikendalikan oleh Syarikat Greenheart Farms Sdn Bhd di Lojing, di sini, yang menggunakan sistem pengurusan racun bersepadu dan menyatakan pembabitan syarikat seperti itu mampu menggalakkan pengeluaran makanan di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Kiandee ketika mengulas isu kenaikan harga ayam berkata badan khas perlu ditubuh bertujuan memantau serta menangani isu kenaikan harga barang dalam pasaran domestik.
Dalam usaha ke arah itu, menurut laporan Bernama, Kiandee berkata, beliau akan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan kementerian dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP), bagi menangani masalah terbabit secara cekap dan sistematik.
“Badan khas ini akan lebih fokus kerana membabitkan perkara di bawah bidang kuasa KPDNHEP sebagai kementerian bertanggungjawab menangani peningkatan harga.
“Bagi pihak kementerian pula, kami terbuka untuk berbincang kerana pendirian kami adalah kos pengeluaran makanan ayam ditanggung pihak industri dan harga ayam yang dikenakan terhadap pengguna mestilah setimpal,” katanya.
Semalam, Menteri KPDNHEP Alexander Nanta Linggi, berkata perbincangan berterusan akan dibuat bersama kementerian diketuai Kiandee itu bagi menyelsaikan masalah kenaikan kos makanan ternakan seperti dibangkitkan penternak.
Beliau menekankan, perbincangan tertumpu kepada isu kenaikan makanan ternak, termasuk harga import dedak ayam, harga baka ayam, dan anak ayam. Kesemua perkara terbabit memberi kesan kepada harga ayam di pasaran pengguna.