Sisa bahan kimia di Sungai Tawakal dipercayai dari lokasi lain, kata polis

Sisa bahan kimia di Sungai Tawakal dipercayai dari lokasi lain, kata polis

Polis sedang menyoal siasat sembilan lelaki yang direman, termasuk seorang pemilik premis berhampiran Sungai Tawakal.

Polis dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Johor sedang menyiasat kes pencemaran di Sungai Tawakal. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Sisa buangan terjadual yang menyebabkan pencemaran di Sungai Tawakal di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, di sini Selasa lepas dipercayai dibawa masuk ke kawasan berkenaan dari lokasi berasingan.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkara itu bagaimanapun masih disiasat pihaknya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Beliau berkata, soal siasat sedang dilakukan terhadap sembilan lelaki yang direman, termasuk seorang pemilik premis berhampiran sungai itu.

“Kita masih membantu dan bekerjasama dengan JAS dan mungkin akan ada operasi susulan. Kita percaya bahan kimia terbuang ini dari lokasi lain.

“Setakat ini, hanya satu premis yang kita serbu hari itu. Sebab itu, kita perlu buat operasi susulan. Insya Allah kita akan kenal pasti dengan JAS bagaimana bahan-bahan buangan ini dibawa untuk dibuang,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini.

Dalam kejadian 10 malam Selasa lepas, empat wanita sesak nafas, manakala 102 penduduk daripada 25 keluarga di kampung berkenaan dipindahkan, selepas terhidu bau dipercayai berpunca daripada sisa buangan terjadual.

Pengarah JAS Johor, Mohd Famey Yusoff dilaporkan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.