Sarawak mahu diberi peluang gelembung pelancongan selepas Langkawi

Sarawak mahu diberi peluang gelembung pelancongan selepas Langkawi

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah yakin SOP sama akan diguna pakai seperti di Langkawi.

Kawasan Mulu dan Niah menjadi antara daya tarikan utama pelancong berkunjung ke Sarawak, seperti mana Langkawi di Kedah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Sarawak mahu kawasan Mulu dan Niah di Miri, dipilih menjadi destinasi gelembung pelancongan seterusnya selepas Langkawi, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, beliau menyakini Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri bersedia mempertimbangkan permintaan kerajaan negeri itu.

“Saya percaya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Nancy Shukri akan mempertimbangkan untuk melaksanakan inisiatif ini di Sarawak.

“Jika gelembung pelancongan ini dilaksanakan di Sarawak, saya percaya prosedur operasi standard (SOP) yang sama akan dikenakan seperti yang diguna pakai di Langkawi,” katanya menurut laoran Utusan Borneo.

Karim berkata, dalam pada itu inisiatif gelembung pelancongan yang bermula di Langkawi semalam akan menjadi kayu ukur untuk kerajaan membuka lebih banyak destinasi pelancongan pada masa akan datang.

Beliau berkata, kementeriannya bersama Lembaga Pelancongan Sarawak dan Business Events Sarawak mempunyai banyak program dan produk pelancongan yang mana sepatutnya diumumkan awal Mac lalu.

Bagaimanapun, katanya semua program dan produk pelancongan ini terpaksa disimpan disebabkan pandemik Covid-19 dan akan diumumkan tidak lama lagi sebaik pintu pelancongan dibuka.

“Bila sektor pelancongan akan dibuka saya tidak dapat umumkan. Tunggu sehingga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) buat pengumuman baru kita lancar produk kita antaranya Program Sia Sitok,” katanya.

Karim berkata, melihat sambutan rakyat menerusi gelembung pelancongan Langkawi yang bermula semalam, dapat dilihat orang ramai sangat teruja untuk kembali melancong selepas terlalu lama disekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.