PH akan buat yang terbaik susulan MoU, kata Kit Siang

PH akan buat yang terbaik susulan MoU, kata Kit Siang

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata mereka akan melakukan yang terbaik bagi menghormati janji dalam MoU kerana tidak mahu membiarkan situasi pandemik Covid-19 terus menjadi buruk.

Lim Kit Siang berkata, “gencatan senjata politik” perlu dilakukan bagi menyatukan rakyat Malaysia dalam memerangi wabak Covid-19.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP akan melakukan yang terbaik untuk menghormati komitmennya dalam perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama kerajaan, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, MoU yang ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa pemimpin PH pada Isnin lalu itu bukanlah jaminan untuk membawa Malaysia melihat satu landskap politik yang baharu.

Beliau dalam kenyataan berkata, MoU berkenaan telah membangkitkan “seluruh spektrum reaksi”, termasuk ketakutan bahawa ia menjadi tanda berakhirnya pihak pembangkang di Parlimen.

“Tidak dinafikan, MoU boleh gagal kerana ia bergantung kepada kedua-dua pihak memenuhi tawaran masing-masing.

“DAP dan PH akan melakukan yang terbaik untuk menghormati janji yang dimeterai dalam MoU kerana kita tidak boleh membiarkan pandemik Covid-19 terus memusnahkan nyawa dan kehidupan di negara ini menyebabkan lebih dua juta kes dan kematian melebihi 22,000 sejak 21 bulan lalu,” katanya.

Katanya, ini adalah sebab mengapa “gencatan senjata politik” perlu dilakukan dalam tempoh 10 hingga 18 bulan berikutnya untuk menyatukan rakyat Malaysia bagi “memerangi wabak Covid-19 dengan sepenuh hati dan mengatasi ancaman pandemik itu.”

Lim turut berkata, MoU itu bukan bermakna satu pengakhiran untuk pihak pembangkang kerana Ahli Parlimen PH akan terus “bersuara untuk keadilan, kebebasan, kemajuan dan perpaduan seperti biasa”.

“Kami ingin memenuhi impian rakyat untuk menjadi bangsa kelas pertama dan merealisasikan aspirasi Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman untuk Malaysia menjadi “satu cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu,” katanya.

“Namun rakyat tanpa mengira etnik, agama, wilayah atau politik, harus memastikan bahawa MoU itu memberikan peluang bersejarah buat Malaysia untuk memulihkan ekonomi, sosial dan negara dalam era selepas pandemik.”

Lim juga berharap Warisan, Pejuang dan MUDA akan menyokong MoU berkenaan dan menandatangani perjanjian yang seumpama itu dengan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.