
Exco Kerajaan Negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, langkah itu membabitkan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM5.1 juta untuk menyerap kos daripada semua operator di semua kemudahan milik pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri.
Menerusi kenyataan beliau berkata, ia penting bagi memastikan kira-kira 11,000 penjaja dan peniaga terus beroperasi terutama apabila permintaan terhadap makanan dan barangan lain dilihat meningkat ketika ramai penduduk berada di rumah ketika pandemik.
Pengecualian itu akan berkuat kuasa mulai bulan depan hingga akhir Disember ini yang termasuk pengecualian bayaran permit pasar malam, pasar pagi, pasar minggu dan pasar tani.
Jagdeep berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM175 juta kerajaan Pulau Pinang dengan RM82 juta daripadanya disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan.