
Buaya yang dianggarkan seberat 500kg itu ditangkap pada 6.30 petang, selepas sekumpulan pemancing di jeti nelayan ternampak kelibat reptilia itu di permukaan air.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, polis bergegas ke lokasi bagi membuat pengesahan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Polis dimaklumkan nelayan yang turut menyedari kehadiran buaya itu, pergi ke lokasi dengan menaiki bot dan menghalang buaya berkenaan menggunakan pukat.
“Selepas lebih kurang satu jam, buaya itu berjaya ditangkap dan dibawa naik ke pantai berdekatan sebuah kedai makan di situ,” katanya dipetik Harian Metro.
Video buaya itu dibawa ke pantai tular di media sosial. Difahamkan, buaya sama pernah muncul di perairan Bagan Ajam.
Noorzainy berkata, buaya itu dipindahkan ke pejabat Angkatan Pertahanan Awam Daerah Seberang Perai Utara sementara menunggu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil tindakan lanjut.
“Setakat ini, tiada mana-mana pihak tampil membuat laporan polis berhubung penangkapan buaya terbabit.”
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang turut berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Bagan Ajam, Mazlan Abdul berkata, pukat pertama digunakan nelayan untuk menangkap buaya itu terputus selepas reptilia itu meronta untuk melepaskan diri.
“Bagaimanapun, nelayan menggunakan beberapa pukat lagi untuk memerangkap buaya itu sebelum ditarik ke pantai,” katanya.