Agong, Permaisuri berkenan adakan lawatan khas ke UK

Agong, Permaisuri berkenan adakan lawatan khas ke UK

Baginda berdua dijadual melawat tapak projek ikonik Malaysia di London, Battersea Power Station, dan Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), selain Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke United Kingdom. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke United Kingdom mulai hari ini hingga 27 Sept.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, baginda berdua berkenan melawat tapak projek ikonik Malaysia di London, Battersea Power Station, iaitu usahasama antara Sime Darby Property, SP Setia Sdn Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Selain itu, baginda berdua juga berkenan melawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 24 Sept bagi sesi pertemuan dengan rakyat Malaysia terdiri daripada usahawan, ahli akademik, pelajar dan ketua komuniti di United Kingdom.

Keesokannya, baginda berdua dijadual berangkat melawat Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), syarikat milik penuh Lembaga Getah Malaysia dan merupakan antara institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) getah terkemuka dunia.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah berkenan menerima kunjungan Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Lawatan khas ini melambangkan kepentingan hubungan erat di antara Malaysia dan United Kingdom yang dimanifestasikan di peringkat pemerintahan tertinggi negara.

“Lawatan itu turut menzahirkan keprihatinan baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat di luar negara serta prestasi pelaburan dan kepentingan negara di United Kingdom agar sentiasa berada dalam keadaan baik terutama semasa pandemik yang mencabar ini,” kata Wisma Putra.

Sementara itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Agong sepanjang keberangkatan Baginda berdua ke UK.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata perkara itu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt. Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu merupakan kali kedua Baginda ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Dis 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.