
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, dasar itu tidak mungkin menyebabkan berlakunya kes kematian di luar hospital (BID) kerana mereka yang dijangkiti akan menunjukkan simptom terlebih dahulu sebelum ia menjadi lebih teruk.
“Sebaik menunjukkan gejala, individu terbabit akan diuji dan diberi rawatan,” katanya.
“Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya dan pemantauan dari jauh terhadap kes ringan juga akan mengurangkan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan kita.”
Bagaimanapun Koh berkata, pendekatan ini tidak boleh dilakukan terhadap mereka yang berada dalam kategori berisiko tinggi serta individu yang menjadi kontak rapat kes tidak bergejala yang mempunyai komorbiditi serta individu berusia 60 tahun ke atas harus menjalani ujian.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, keputusan untuk menghentikan ujian terhadap kontak rapat kes tidak bergejala boleh diterima selagi suntikan vaksin telah diberikan kepada hampir semua individu yang layak.
Bagaimanapun katanya, pendekatan itu harus disusuli dengan pemantauan atau melakukan temubual harian dengan pesakit tidak bergejala sekurang-kurangnya sekali sehari.
Koh dan Lee berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa Sarawak tidak lagi menjalankan ujian terhadap kontak rapat yang tidak menunjukkan simptom walaupun mereka dikuarantin di rumah.
Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, mereka akan dipantau menerusi CAC secara maya.
“Saya percaya Jabatan Kesihatan Sarawak tertekan dengan bebanan kerja apabila terdapat lebih 3,000 kes dan kemungkinan perlu menyaring dan memantau 9,000 hingga 15,000 kontak rapat,” kata Lee kepada FMT.
Beliau berkata, penularan jangkitan semakin meluas dalam komuniti di negeri itu dan kerajaan harus mempertimbangkan untuk memperkasakan lebih ramai penduduk menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 dan menyediakannya secara percuma kepada mereka yang menjadi kontak rapat pesakit.
Katanya, ujian seperti itu boleh mengesan kes baharu dan kontak rapat dengan segera.
Isnin lalu, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi melakukan ujian terhadap kontrak rapat kes tidak bergejala adalah satu langkah bahaya.
“Perang melawan Covid-19 masih belum berakhir terutama ketika anak-anak kita terdedah dan keberkesanan perlindungan vaksin bagi mereka yang lengkap dos akan berkurangan,” katanya.
“Ketika kita akui terdapat keperluan untuk membuka semula aktiviti ekonomi, langkah-langkah tertentu mesti dilaksanakan bagi mengurangkan risiko jangkitan, penyakit dan kematian. Apa yang pasti, langkah mengurangkan ujian bukan cara yang betul.”