
Ketua Pegawai Eksekutif Rockwills Trustee Bhd, Azhar Iskandar Hew berkata, setiap satu daripada 20 rumah anak yatim berkenaan menerima RM5,805 yang akan memanfaatkan 1,076 anak yatim secara keseluruhan.
“Sumbangan ini mencerminkan sikap prihatin dan kasih sayang Madam W untuk golongan anak yatim,” katanya dalam sidang media sempena majlis penyerahan sumbangan berkenaan menerusi aplikasi Zoom.
Azhar berkata, sebagai pemegang amanah Tabung Madam W, pihaknya berbesar hati menjadikan sambutan Hari Malaysia lebih bermakna kepada 1,076 anak yatim yang kehilangan ibu atau bapa mereka.
“Sebagai pemegang amanah tabung ini, kami gembira untuk memberi perlindungan dan penjagaan kepada kebajikan rumah anak yatim ini yang bergelut dengan dana.”
Beliau berkata, rumah kebajikan anak yatim, sama seperti organisasi amal lain berdepan tekanan aliran masuk tunai ekoran pandemik Covid-19 yang mencetuskan iklim ekonomi yang begitu mencabar.
Antara penerima sumbangan itu ialah The Miri Methodist Children’s Home, Rumah Kanak-kanak Impian, Persatuan Kebajikan Berkat Johor Bahru dan Rumah Hope.
Pewasiat yang dikenali sebagai Madam W, dalam wasiatnya mengarahkan sebahagian estetnya yang bernilai RM6 juta diamanahkan untuk tujuan pelaburan dan pendapatannya digunakan untuk membiayai rumah anak yatim.
Azhar berkata, Rockwills Trustee mempunyai jawatankuasa operasi dalaman yang dianggotai pengarah dan kakitangan pengurusan kanan untuk memastikan tabung amanah Madam W dilaburkan dalam instrumen pelaburan sesuai yang memberikan pulangan tetap setiap tahun tanpa menjejaskan modal dalam tabung amanah itu.
“Sejak dilantik sebagai pemegang amanah pada 2013, Rockwills Trustee mewujudkan satu sistem operasi untuk merealisasikan semua hasrat murni mendiang agar harta yang ditinggalkannya dapat berkembang dan digunakan untuk membiayai anak yatim,” katanya.