Pemancing lemas ketika cuba betulkan umpan tersangkut

Pemancing lemas ketika cuba betulkan umpan tersangkut

Mangsa dihanyut arus deras di Kampung Kesom Che Nordin, Kuala Terengganu.

Pasukan Bomba dan penyelamat mengambil lebih dua jam untuk mencari mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan tertiarap di dasar sungai kira-kira 1.15 tengah hari.
KUALA TERENGGANU:
Seorang lelaki ditemui lemas selepas dihanyut arus deras ketika memancing bersama dua rakannya di sungai di Kampung Kesom Che Nordin, Manir, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu, Mohd Amir Rosli Mohd Razali, 25, dikatakan cuba menyeberangi sungai untuk membetulkan umpan yang tersangkut pada kayu sebelum dihanyutkan arus.

Rakan mangsa, Syukri Abd Aziz, 23, dikatakan berusaha menyelamatkan Amir dengan menghulurkan joran dan dahan kayu, namun beliau gagal berpaut pada joran dan dahan kayu tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira 11 pagi.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat Amir mengambil lebih dua jam, sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap di dasar sungai kira-kira 1.15 tengah hari.

“Mayat Amir diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.