
Demi memastikan masalah itu tidak berlanjutan, beliau mencadangkan suruhanjaya diraja ditubuhkan.
Shad Saleem dalam sebuah webinar hari ini berkata, autonomi yang dimiliki Sabah dan Sarawak dalam pelbagai bidang terhakis disebabkan perkembangan politik, sosial, Perlembagaan dan agama.
“Saya rasa pemimpin kerajaan persekutuan perlu mengiktiraf kebimbangan Sabah dan Sarawak adalah benar dan perlu ditangani,” katanya dalam forum bertajuk “Memelihara Autonomi Sabah dan Sarawak dari segi Perlembagaan”.
Webinar itu anjuran Inisiatif Celik Perlembagaan (CIL), dengan kerjasama Majlis Peguam dan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya sempena sambutan Hari Malaysia.
“Kajian menyeluruh ke atas instrumen undang-undang, Perlembagaan, kewangan dan politik perlu dilaksanakan.
“Mengimbangi kebimbangan terhadap ekuiti dan kecekapan dalam hubungan kewangan antara kerajaan paling penting. Dalam persekutuan lain, ini adalah masalah yang menimbulkan rasa tidak puas hati.”
Shad Saleem berkata, jawatankuasa khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, disusuli Perikatan Nasional (PN) pada 2020 mencapai sedikit kemajuan.
“Namun, sudah pasti masih banyak yang perlu dilakukan. Mungkin suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan.
“Isu royalti minyak mencetuskan gerakan pemisah dalam banyak persekutuan…lihat sahaja di Sudan. Dahulu, ia adalah sebuah negara, namun kini ia terpisah kepada utara dan selatan.
“Berdekad lalu, Biafra dan Nigeria (berebut) hasil minyak. Jadi, saya fikir penyelesaian baik adalah perlu demi memastikan pelabur tidak takut dan pada masa sama terdapat perkongsian adil.”
Terdahulu, Shad Saleem berkata, malangnya beberapa pindaan Perlembagaan menghakis kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak, contohnya pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Sabah dan Sarawak antara 13 negeri di Malaysia.
“Ini adalah penurunan status tanpa persetujuan mereka.”
Katanya, Sabah dan Sarawak turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Akta Laut Wilayah 2012 yang mengurangkan kawalan perairan mereka daripada 12 kepada tiga batu nautika, bercanggah Perkara 2(b).
Beliau berkata, pindaan Perkara 121(1) turut melemahkan kuasa mahkamah, termasuk Mahkamah Tinggi Borneo.
“Begitu juga Perkara 121(1A) dimasukkan untuk mengurangkan kuasa mahkamah, termasuk Mahkamah Tinggi Borneo. Adakah ia mendapat persetujuan Yang di-Pertua Sabah dan Sarawak?”
Beliau berkata, timbul juga rasa kurang senang berhubung perkongsian sumber tidak seimbang dan kekurangan federalisme fiskal.
“Terdapat dakwaan kedua-dua negeri ini tidak mendapat manfaat kewangan selayaknya berdasarkan hasil sumbangan mereka kepada dana negara menerusi petroleum, hidroelektrik dan pelancongan.
“Peruntukan persekutuan kepada negeri di Borneo didakwa tidak mengambil kira pendapatan langsung dan tidak langsung persekutuan dari dua negeri ini.”
Katanya, ada keperluan untuk mengukuhkan mekanisme institusi untuk dialog berkala dan tidak berpihak antara kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak.