
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, KPP yang menggariskan matlamat strategik Malaysia dan reformasi diperlukan untuk dekad akan datang, dirangka sebagai dokumen inklusif “keseluruhan kerajaan” yang akan diluluskan di Parlimen secara dwipartisan.
“Rundingan meluas dilakukan dengan pelbagai pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, kementerian lain dan juga barisan pembangkang ketika itu,” katanya dalam catatan di Facebook.
Beliau berkata, KPP dibentangkan Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu pada 2019 dan diiktiraf Ismail yang juga Ketua Pembangkang ketika itu.
Katanya, dalam sidang media pertama Ismail sebagai Menteri Pertahanan pada Mac 2020, beliau menzahirkan komitmen kepada rakyat dan Angkatan Tentera Malaysia untuk meneruskan reformasi keselamatan berdasarkan KPP.
Bagaimanapun, Liew kecewa kerana Hishammuddin tidak menyentuh mengenai KPP dalam kenyataan media empat halamannya mengenai hala tuju dasar Kementerian Pertahanan, sekembalinya ke kementerian itu.
“Hishammuddin perlu meneladani Ismail dengan menjadikan KPP sebagai objektif dasar merentasi parti yang tidak akan berubah, walaupun berlaku pertukaran kerajaan atau menteri.”
Katanya, Malaysia “secara geografinya terletak di tengah-tengah zon konflik geopolitik”, Laut China Selatan.
“Oleh itu, kita memerlukan reformasi pertahanan yang komprehensif untuk meningkatkan kesiapsiagaan Malaysia bagi menghadapi apa jua kemungkinan.”
Pada 2 Dis 2019, Mohamad membentangkan KPP yang menggariskan rancangan pertahanan Malaysia untuk 10 tahun akan datang, dengan menyentuh peningkatan ancaman keganasan, ketegangan ketenteraan di Laut China Selatan, serangan siber dan pemerdagangan manusia serta dadah.