5 pelancong dikesan positif di pintu masuk Langkawi

5 pelancong dikesan positif di pintu masuk Langkawi

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua lima kes itu adalah Kategori 1 dan mereka diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari.

Antara penumpang yang menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini sebelum dibenarkan berlepas ke Langkawi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lima daripada 2,546 pelancong didapati positif Covid-19 ketika disaring di pintu masuk udara dan laut ke Langkawi setakat 12 tengah hari tadi.

Pulau terbabit menjadi destinasi pertama dalam projek rintis gelembung pelancongan domestik, yang dibuka bermula hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua lima kes itu adalah Kategori 1, iaitu tidak bergejala.

“Kes-kes ini telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari,” katanya dalam kenyataan.

Secara keseluruhan, katanya, seramai 1,250 orang disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 orang melalui feri di Kuala Perlis.

“Sejumlah 2,528 orang telah menjalani ujian RTK-Ag dan daripada jumlah ini, lima kes positif Covid-19 dikesan.

“Enam orang menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang dan semua keputusan adalah negatif, baki 12 kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing.”

Mengulas lanjut, Hisham berkata, kejayaan projek rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama ini sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik seterusnya.

“Projek rintis ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ianya berjalan lancar dan tidak menyebabkan peningkatan kes serta kluster baharu.

“Atas sebab itulah, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi telah menerima vaksinasi lengkap, bukan merupakan kes positif Covid-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif.”

Beliau berkata, sekiranya orang ramai mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan menjadi lebih teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.