
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, lebih 200,000 tempat duduk ke Langkawi dijual kurang seminggu.
Beliau berkata, penerbangan tersebut – yang pertama daripada sembilan penerbangan harian yang dijadualkan dari Kuala Lumpur, berlepas dari klia2 pada 9.50 pagi menggunakan pesawat Airbus A321neo.
“Selain dari Kuala Lumpur (63 penerbangan mingguan), AirAsia juga mempunyai penerbangan ke Langkawi dari Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (tujuh kali seminggu), Ipoh (tiga kali seminggu) dan Kota Bharu (tiga kali seminggu), menjadikan semuanya 90 penerbangan seminggu,” katanya dalam kenyataan.
“Bagi memudahkan pergerakan ini, kami membuat persiapan menyeluruh dan melaksanakan protokol kesihatan serta keselamatan yang padu dan komprehensif bagi memastikan semua tetamu boleh melakukan perjalanan dengan selamat, bersama kru dan petugas barisan hadapan kami 100% lengkap divaksin.
“Selepas melakukan persediaan selama berbulan-bulan, kami bersemangat menyaksikan industri kembali rancak dan bersedia untuk meningkatkan operasi kami bagi memenuhi peningkatan permintaan.
“Kami berharap lebih banyak gelembung perjalanan diwujudkan di seluruh negara tidak lama lagi, sejajar peningkatan kadar vaksinasi dan seterusnya di seluruh rantau ini apabila selamat berbuat demikian,” katanya.
AirAsia turut melancarkan perkhidmatan “ride-hailing” di Langkawi hari ini, dengan pemandu kenderaan 100% divaksin.