UNESCO iktiraf Bukit Bendera sebagai tapak rizab biosfera

UNESCO iktiraf Bukit Bendera sebagai tapak rizab biosfera

Bukit Bendera menjadi tapak rizab biosfera negara ketiga selepas Tasik Chini, Pahang, dan Banjaran Crocker, Sabah.

Rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481ha adalah ‘paru-paru hijau’ Pulau Pinang, melibatkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuk Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bukit Bendera, Pulau Pinang hari ini diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera Malaysia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Takiyuddin Hassan berkata pengumuman itu dibuat hari ini dalam mesyuarat ‘International Coordinating Council of the 33rd Session of the International Coordinating Council of the Man and the Biosphere Programme (ICC MAB).’

Beliau berkata pengiktirafan itu kejayaan buat Malaysia amnya dan kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mampan.

“Bukit Bendera merupakan tapak rizab biosfera negara ketiga selepas Tasik Chini, Pahang (2009) dan Banjaran Crocker, Sabah (2014) diiktiraf di bawah ‘Program Man and the Biosphere’ (MAB) oleh UNESCO.

“Kementerian ini yakin bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus komited dalam menguruskan tapak rizab biosfera ini dengan baik dan berusaha mengekalkan status pengiktirafan ini pada masa akan datang demi melaksanakan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan di bawah program MAB ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481ha merupakan ‘green lung’ atau ‘paru-paru hijau’ kepada Pulau Pinang dan ia melibatkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuk Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.

Rizab biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin dengan setiap ekosistem menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia dan burung hijrah migrasi terancam.

“Hingga kini, terdapat 2,456 spesies tumbuhan, fungi (131), artropod (300), vertebrata (157), amfibia (26), reptilia (87), burung (150), mamalia (30) dan marin (lima) di kawasan tersebut.

“20 spesies flora dan 550 spesies fauna di kawasan ini telah disenaraikan sebagai terancam dalam ‘International Union for Conservation of Nature’s Red List’ (IUCN Red List) seperti penyu, ikan lumba-lumba, tenggiling, kongkang dan ‘Penang Island Rock gecko’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.