Sabah, Sarawak menaruh harapan tinggi terhadap Ismail

Sabah, Sarawak menaruh harapan tinggi terhadap Ismail

Sabah dan Sarawak masih berdepan isu jurang besar pembangunan sehingga menyukarkan ahli politik tempatan memberi penerangan punca masalah itu.

Presiden PBS, Maximus Ongkili dan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, senada menganggap masih wujud jurang besar antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Menjelang sambutan Hari Malaysia, esok, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, diminta berterusan merapatkan jurang antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung terutama dari segi pembangunan yang tidak seimbang.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili, berkata beliau menaruh harapan tinggi terhadap Ismail untuk meneruskan komitmen pemimpin terdahulu dalam membangunkan Sabah dan Sarawak.

Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata beliau sepenuhnya mengharapkan Ismail mengikuti usaha dilaksanakan oleh Najib Razak dan Muhyiddin Yassin.

“Beliau (Ismail) memberitahu saya bahawa beliau komited menambah baik struktur dan fokus merapatkan jurang antara Sabah dan Sarawak, selain negeri di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan yang turut menyenaraikan jangkaannya bagi sambutan Hari Malaysia.

“Beliau menyedari terdapat jurang besar antara (Malaysia) Barat dan Timur, termasuk rasa tidak gembira dalam kalangan belia di kedua-dua negeri berkenaan untuk melihat dan mengalami sendiri Dasar Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Ongkili berkata, beliau akan mengiringi Ismail dalam lawatan kerja rasmi pertama sebagai Perdana Menteri ke Sabah untuk merasmikan sambutan Hari Malaysia, esok.

Beliau berkata, usaha perlu dilakukan bagi menyatakan fakta sejarah sebenar berhubung pembentukan Malaysia.

Katanya, kerajaan perlu memperbetulkan sejumlah kecil kandungan sukatan pelajaran sekolah berhubung pembentukan negara ini.

Beliau turut menekankan perlunya kerajaan mengecilkan jurang ekonomi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Berlaku kesulitan terutama bagi ahli politik untuk menerangkan mengapa berlaku jurang besar membabitkan tahap kemiskinan, agihan pendapatan dan infrastruktur fizikal,” katanya sambil menambah ada perbezaan ketara antara dana sebenar diagihkan berbanding jumlah diumumkan.

Katanya, lebih ramai rakyat Sabah dan Sarawak diperlukan dalam agensi perancangan pembangunan milik kerajaan Persekutuan.

“Ia penting agar penduduk setempat terbabit secara langsung dalam membangunkan sektor pedalaman,” katanya.

Sabah negeri termiskin di Malaysia

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan, berkata rakyat Sabah berterusan menemui “kekecewaan sehingga ke tahap meratapi”, walaupun selepas 58 tahun pembentukan Malaysia.

“Selepas permulaan baik dalam Persekutuan, rakyat Sabah semakin menyedari bahawa mereka dipinggirkan dalam perkongsian ini,” katanya yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), antara komponen parti membentuk Perikatan Nasional (PN).

“Saya sekali lagi mengunjungi Batu Sumpah di Keningau, mengimbau semula pembentukan Malaysia. Diakui, kita sudah melihat perkembangan, namun dibandingkan dengan Singapura dan Brunei yang memilih untuk tidak bersama dalam Persekutuan ini, pembangunan Sabah dilihat terbantut, malah diabaikan untuk dibandingkan dengan dua negara berkenaan,” katanya.

Kitingan berkata, beberapa faktor dikenal pasti susulan kekurangan pembangunan di negeri ini, dengan satu antaranya membabitkan 40% pendapatan bersih kerajaan Persekutuan di negeri ini masih tidak diagihkan kepada Sabah.

“Sejumlah 10% eksport petroleum berbentuk royalti belum dibayar. Selain itu, sebanyak 10% duti import membabitkan eksport produk petroleum juga masih tidak dibayar sepenuhnya, namun diganti dalam bentuk jumlah tetap sebanyak RM120 juta sejak 2007.

“Dalam bentuk sumber, minyak dan gas kita secara tidak berperlembagaan diambil alih oleh Petronas di mana 100% dimiliki kerajaan Persekutuan, yang mana anak-anak tempatan berhempas pulas mencari pekerjaan di jabatan Persekutuan di Sabah. Kebanyakan jawatan itu didominasi rakyat Semenanjung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.