Kaji semula dasar permohonan SBP, gesa Ahli Parlimen

Kaji semula dasar permohonan SBP, gesa Ahli Parlimen

Beberapa Ahli Parlimen terbabit membuat gesaan itu apabila dasar ketika ini tidak membenarkan pelajar-pelajar Sekolah Rendah Agama dan sekolah vernakular membuat permohonan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh.

Beberapa Ahli Parlimen menggesa kajian dilakukan supaya sejajar dengan pendidikan inklusif dan dasar pendidikan kebangsaan
PETALING JAYA:
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan mengkaji semula dasar yang tidak membenarkan pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) dan sekolah vernakular membuat permohonan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Gesaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Kulai yang juga bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Tampin, Hasan Bahrom dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar menerusi satu kenyataan bersama.

Menurut mereka, kajian itu perlu dilakukan supaya ia sejajar dengan pendidikan inklusif dan dasar pendidikan kebangsaan yang bertujuan mengutamakan akses pendidikan untuk semua.

Ahli Parlimen terbabit menjelaskan, ia juga penting dan relevan terutamanya dalam menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar daripada kumpulan B40.

Mereka berkata, dasar yang diamalkan ketika ini bercanggah dengan pendidikan inklusif kerana mendiskriminasikan ribuan pelajar pelbagai kaum di sekolah vernakular untuk memohon ke SBP.

“Jika diperhatikan dengan teliti, sistem pendidikan kini merangkumi lebih 1,300 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), lebih 500 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan lebih 130 SRA di seluruh negara.

“Dasar ini secara langsung menutup peluang pendidikan yang dibiayai oleh kerajaan kepada warganegara hanya kerana mereka memilih untuk belajar di aliran sekolah yang berbeza,” kata mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.