Tarik balik rayuan keputusan mahkamah berhubung kerakyatan, kerajaan didesak

Tarik balik rayuan keputusan mahkamah berhubung kerakyatan, kerajaan didesak

Sebuah NGO dan seorang Ahli Parlimen menyifatkan isu ini sebagai 'ketidakadilan berat' bagi wanita Malaysia dan 'ujian besar' bagi konsep 'Keluarga Malaysia'.

Ahli Family Frontiers dan peguam di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia berhak mendapat kerakyatan.
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang Ahli Parlimen menyeru kerajaan agar menarik balik notis rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa anak-anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara berhak mendapatkan mendapat kerakyatan menurut kuat kuasa undang-undang.

Family Frontiers berkata, rayuan itu patut ditarik balik untuk memastikan ketidakadilan terhadap wanita Malaysia tidak terus berlaku.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, isu itu akan menjadi ujian besar terhadap konsep “Keluarga Malaysia” yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataan, Family Frontiers menyeru rakyat Malaysia, baik di dalam mahupun di luar negeri, agar menandatangani petisyen meminta kerajaan menarik balik rayuannya yang dilihat bercanggah dengan hak wanita dalam isu kerakyatan.

“Kami berasa gerun dan sangat kecewa dengan tindakan kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menegaskan hak wanita Malaysia untuk memberi kerakyatan secara automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara atas dasar yang setara dengan lelaki Malaysia,” katanya.

Semalam, Peguam Negara Idrus Harun memberitahu FMT melalui pesanan teks bahawa notis rayuan telah difailkan.

Katanya, tiga menteri persekutuan, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, secara terbuka menyokong keputusan itu.

Family Frontiers berkata, ini adalah peluang kerajaan untuk menerima keputusan Mahkamah Tinggi dan bergerak menuju lebih keadilan dan kesamarataan bagi wanita Malaysia.

“Sebaliknya, kerajaan memilih untuk mengekalkan ketidakadilan yang menimpa Malaysia sejak Merdeka, yang ditanggung oleh wanita Malaysia selama 64 tahun,” katanya.

Dengan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu katanya, keadilan akan tertangguh bukan hanya bagi wanita Malaysia, tetapi anak-anak dan keluarga besar mereka juga.

Tindakan kerajaan ini menghantar “mesej jelas bahawa ia memihak kepada diskriminasi dan peminggiran yang berterusan” terhadap wanita Malaysia, kata Family Frontiers.

Dalam kenyataan berasingan, Yeoh juga berkata bahawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun secara terbuka mengalu-alukan keputusan mahkamah yang “memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional”.

Rina juga berkata, keputusan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan kesamarataan bagi golongan wanita, menurut Yeoh.

“Oleh kerana keputusan peguam negara ini dilihat bertentangan dengan kenyataan menteri, maka kita juga tertanya-tanya adakah ini sebuah kerajaan yang berkepala dua atau satu lagi contoh kes menteri wanita yang tidak memahami tanggungjawabnya dalam memperjuangkan hak kesamarataan bagi golongan wanita?” soal Yeoh.

Yeoh menggesa Ismail agar mengarahkan peguam negara menarik balik rayuan berkenaan dan memastikan Kementerian Dalam Negeri menghormati dan melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi.

“Episod ini sahaja sudah cukup untuk menggambarkan bahawa terdapat begitu banyak keputusan yang tidak konsisten dalam Jemaah Menteri beliau dan kelemahan yang paling ketara ialah kegagalan kerajaan ini melindungi wanita dan kanak-kanak,” katanya.

“Konsep ‘keluarga besar Malaysia’ perdana menteri kini sedang diuji dan tercemar dengan keputusan yang tidak masuk akal dan kejam oleh peguam negara sehingga menimbulkan kesengsaraan dan kekecewaan kepada ramai ibu dan keluarga mereka.

“Ini adalah ujian 100 hari Ismail bagi membuktikan bahawa beliau mampu “menjinakkan” kerajaan pelbagai kepala dan membawa kelegaan kepada ibu dan anak-anak mereka yang menderita.”

Pada 9 Sept, hakim Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir, menegaskan bahawa perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi “ibu”.

Katanya, seperti bapa, ibu juga mempunyai hak dalam isu kerakyatan menurut kuat kuasa undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.