Kejayaan gelembung pelancongan Langkawi jadi penanda aras, kata Hishammuddin

Kejayaan gelembung pelancongan Langkawi jadi penanda aras, kata Hishammuddin

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu membuktikan kejayaan projek rintis itu bagi meyakinkan kerajaan membenarkan pembukaan lebih banyak aktiviti pelancongan di seluruh negara.

Pembukaan lebih banyak sektor pelancongan negara bergantung kepada kejayaan gelembung pelancongan Projek Rintis Pulau Langkawi, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pembukaan lebih banyak sektor pelancongan negara bergantung kepada kejayaan gelembung pelancongan Projek Rintis Pulau Langkawi, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Justeru, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu membuktikan projek rintis itu berjaya bagi meyakinkan kerajaan untuk membenarkan pembukaan lebih banyak aktiviti pelancongan di seluruh negara.

Beliau berkata, menerusi projek rintis itu Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 mahukan MOTAC menggariskan prosedur operasi standard (SOP) yang betul-betul boleh dipatuhi rakyat dan pemain industri, termasuk keperluan membuat ujian saringan Covid-19 sebelum melancong untuk mengelak peningkatan penularannya.

“Apa yang penting sekali, mereka yang pergi ke Pulau Langkawi perlu berdisiplin (mematuhi SOP) dan telah menerima vaksin. Sekiranya projek ini (Pulau Langkawi) gagal, kita tidak akan buka tempat lain (pelancongan).

“Ia menjadi tanggungjawab Nancy (Shukri) dan MOTAC untuk membuktikan kepada kami bahawa mereka boleh lakukan di Langkawi sebelum dibuka tempat-tempat lain,” katanya pada sidang media khas Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Parlimen.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Pulau Langkawi boleh dikunjungi pelancong dari seluruh negara kecuali yang berada di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai 16 Sept. Bagaimanapun ia tertakluk kepada SOP ketat yang ditetapkan.

Ditanya mengenai kriteria penilaian bagi membolehkan Langkawi menjadi penanda aras dalam perkara itu, Hishammuddin berkata, ia sama seperti syarat diperlukan bagi peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti kadar vaksinasi dan penggunaan katil hospital, serta jumlah kes Covid-19.

“Dari mana mereka datang, bagaimana mereka datang ke Langkawi, semua itu kita kena teliti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.