Daripada 181 SOP kepada hanya 10, kata Hishammuddin

Daripada 181 SOP kepada hanya 10, kata Hishammuddin

Hishammuddin Hussein berkata senarai SOP yang dikemaskini akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Hishammuddin berkata, senarai baharu SOP yang dikemas kini akan diumumkan oleh perdana menteri dalam masa terdekat.
PETALING JAYA:
Putrajaya akan mengumumkan pengurangan jumlah prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 terkini daripada 181 kepada hanya 10 dalam tempoh beberapa minggu, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, senarai SOP terbaharu yang dikemas kini akan lebih mudah difahami oleh semua pihak.

Katanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan bertanggungjawab mengedarkan SOP berkenaan sejurus selepas diumumkan.

Hishammuddin berkata, senarai tepat SOP dikemas kini itu akan diumumkan oleh perdana menteri dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Hishammuddin turut menjelaskan bahawa pihaknya bersama tiga lagi menteri akan memperhalusi usaha ke arah memperkemaskan lagi SOP sedia ada supaya ia lebih difahami rakyat.

“Bagi menentukan bagaimana SOP sedia ada ini dapat diperkemaskan, kerajaan tidak hanya mengambil data-data sains khususnya daripada KKM, tetapi juga maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri,” katanya

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa serta Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Annuar akan bertanggungjawab mengkoordinasi aspek komunikasi agar SOP yang ditetapkan dapat difahami oleh rakyat, manakala Tengku Zafrul yang juga menteri penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan menyelaras usaha berkaitan pakej bantuan untuk rakyat dan inisiatif rangsangan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.