
Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib dan Nazifuddin selaku pemohon memberitahu pemberita bahawa notis usul itu difailkan secara berasingan semalam di Mahkamah Persekutuan menerusi Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia selaku responden.
Dalam notis usul itu, mereka memohon diberi kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keseluruhan keputusan hakim Mahkamah Rayuan pada 9 Sept lepas yang menolak rayuan kedua-dua perayu dengan kos RM10,000 setiap seorang.
Dalam notis itu, mereka turut mengemukakan sembilan persoalan undang-undang antaranya sama ada Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan sama ada Seksyen 106 (3) itu tidak berperlembagaan atau ultra vires kerana ia telah merampas kuasa kehakiman mahkamah seperti termaktub di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 9 Sept lepas, hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.
Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin.
Najib dan Nazifuddin perlu membayar cukai berkenaan kepada LHDN selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus dimasukkan terhadap mereka.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Perintah terhadap Najib dan Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lepas oleh hakim Ahmad Bache dan hakim Ahmad Zaidi Ibrahim.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib dengan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.
LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib dan Nazifuddin di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Feb lalu kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan berkenaan.