
“Saya gembira dengan keputusan itu tetapi saya mahu polis dan kerajaan mengakui kesalahan mereka. Itu saja yang saya mahukan,” kata Janagi Nadarajah.
“Suami saya (Benedict Thanilas) tenat ketika berada di lokap tetapi mereka hanya mengabaikannya.
“Saya benar-benar marah. Itu (permintaan maaf) yang saya mahukan.”
Thanilas, yang mengambil lapan jenis ubat setiap hari, menjalani pembedahan pintasan jantung sebelum penahanannya di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Laporan sebelum ini memetik peguam M Visvanathan berkata, tidak ada bukti Thanilas terlibat dalam pengedaran dadah.
Thanilas, 44, yang turut menghidap kencing manis dan darah tinggi, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokap polis Jinjang pada 10 Julai 2017, iaitu 12 hari selepas penahanannya.
Terdahulu, dilaporkan bahawa pegawai polis yang menahan Thanilas tidak membawa ubat-ubatannya ketika menahannya, sebaliknya menyuruh Janagi membawanya kemudian ke balai polis Sentul.
Bagaimanapun, laporan toksikologi Thanilas selepas kematiannya tidak menemui kesan lapan ubat di tubuhnya.
Tahun lalu, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Thanilas dapat dielakkan jika dia diberikan rawatan yang diperlukan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi RM281,300 kepada keluarga Thanilas, dengan NGO Menghapuskan Kematian dan Dera Dalam Jagaan (EDICT) berkata, mahkamah memutuskan bahawa keluarga tersebut telah membuktikan kes itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Janagi diberikan RM91,800 bagi ganti rugi kehilangan saraan, RM50,000 untuk sakit dan penderitaan, RM100,000 ganti rugi teruk, ganti rugi untuk kesedihan RM30,000 dan kos pengebumian sebanyak RM4,000.
Sebanyak RM5,500 lagi diberikan sebagai kos pengeluaran surat kuasa mentadbir harta pusaka.
Bercakap kepada FMT, Visvanathan berkata, keluarga Thanilas merancang untuk merayu jumlah ganti rugi yang diberikan kerana terlalu rendah, sambil menambah bahawa jumlah yang lebih tinggi akan memberikan “mesej yang jelas” kepada pihak berkuasa.
Merujuk keputusan lain baru-baru, Visvanathan berkata, Mahkamah Persekutuan memberikan ganti rugi RM200,000 kepada seorang balu dan anak perempuan pemandu lori P Chandran yang meninggal dunia di lokap polis.
“Kes ini hampir sama dengan P Chandran, yang pada awal tahun ini diberikan ganti rugi berjumlah RM200,000,” katanya.
“Jadi kekurangan RM100,000, itu bukan satu jumlah yang kecil.
“Jika ganti rugi yang diberikan oleh mahkamah cukup tinggi untuk menunjukkan kemarahan dan penghinaannya…ia akan membuatkan pihak berkuasa memandang serius masalah kematian dalam tahanan dan bertindak menghentikannya.”
Tambahnya, beliau juga merancang untuk merayu tuntutan yang tidak diberikan untuk (tuntutan) penyalahgunaan di pejabat awam, tertakluk pada perbincangan akhir dengan ahli keluarga.
Visvanathan juga menggunakan kes lain yang menyaksikan suri rumah N Indra, yang anaknya A Kugan meninggal dunia dalam lokap polis pada 2009, dianugerahkan RM100,000 kerana kesalahan salah guna tempat awam.
Beliau menjelaskan bahawa penyalahgunaan kuasa berlaku apabila pihak berkuasa menyalahgunakan kuasa mereka dan mengabaikan mereka yang berada bawah jagaan mereka.
“Koroner tahun lalu mengesyorkan agar Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang terlibat kerana gagal dalam tugasan mereka.
“Sejak Thanilas ditahan, polis mengetahui dia adalah pesakit jantung, tetapi mereka tidak peduli jika tahanan mengambil ubat atau makanan mereka.
“Ini adalah kes yang menyaksikan tuntutan penyalahgunaan harus diberikan.”