
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula awal bulan ini apabila mangsa yang berusia 31 tahun itu menerima pesanan melalui aplikasi Messenger daripada pemilik akaun menggunakan nama Winnei Wong.
Beliau berkata, suspek pada mulanya menyatakan hasrat untuk berkawan dan meminta nombor telefon mangsa dan seterusnya menghantar satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek kemudiannya menghantar satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp dan mengajak mangsa menyertai skim pelaburan melalui website http://mfaic.live serta mengajar cara mendaftar bagi mendapatkan keuntungan wang melalui pelaburan itu.
“Mangsa akhirnya tertarik dengan tawaran dibuat dan selepas suspek memaklumkan mengenai keuntungan yang boleh diraih melalui pelaburan itu, mangsa bersetuju untuk melabur,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Wazir berkata, mangsa membuat tujuh kali pemindahan wang berjumlah RM70,000 secara talian ke dalam akaun diberikan suspek pada Selasa lalu.
Katanya, mangsa kemudiannya memindahkan wang berjumlah RM45,000 pada Rabu ketika berada di rumahnya di Kampung Raja, dekat Cameron Highlands.
“Mangsa sekali lagi memindahkan wang sebanyak RM58,000 pada Khamis lalu ke nombor akaun berbeza yang diberikan suspek.
“Selepas memindahkan wang pelaburan berjumlah RM163,000 itu, mangsa mendapati laman web terbabit dibekukan di dalam akaun e-wallet menggunakan nama Renobiq Solution dan tidak boleh dikeluarkan,” katanya.
Mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.