
Katanya, zoo penting untuk para penyelidik belajar tentang pelbagai hidupan liar, dan tidak wajar bagi mereka untuk menangkap haiwan di hutan hanya untuk melengkapkan kajian mereka.
Arie berkata demikian sebagai respons terhadap seruan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sebelum ini agar kerajaan mempertimbangkan semula konsep zoo. CAP berkata, zoo memakan belanja yang tinggi untuk kekal beroperasi dan menyumbang kepada kekejaman terhadap haiwan.
Bagaimanapun, kata Arie, fokus perlu diberi kepada menghentikan penebangan hutan di negara ini kerana ia mengakibatkan lebih banyak haiwan berdepan ancaman kepupusan.
Katanya, zoo masih lagi relevan kerana ia membantu menyokong program pembiakan dan penyelamatan bagi spesies haiwan terancam dengan berkongsi kepakaran mereka dengan taman tempatan.
“Selain itu, jika haiwan-haiwan ini dihantar semula ke hutan, masih ada kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung. Masih ada keperluan untuk mengupah renjer taman dan menanggung kos menyelamatkan dan melindungi haiwan jika mereka berdepan risiko diburu.
“Saya tidak fikir membazir sama sekali untuk melabur dengan zoo, terutamanya dari segi pendidikan untuk kanak-kanak. Malah, kerajaan sepatutnya memperuntukkan lebih banyak modal buat zoo untuk memastikan pentadbiran, kemudahan dan penjagaan yang sempurna buat haiwan-haiwan,” katanya.
Doktor haiwan Dr Reza Singam, yang pernah berkhidmat di Zoo Negara pada awal 2000-an, berkata, zaman pemburuan haiwan di habitat mereka sudah berakhir.
“Jika zoo masih berbuat demikian, semestinya patut ditutup. Bagaimanapun, haiwan-haiwan ini dibiakkan dalam kurungan dan tidak sesuai untuk dilepaskan ke persekitaran liar,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, pada zaman ini, haiwan-haiwan yang dibiakkan dalam kurungan hidup lebih lama berbanding yang hidup liar.
“Ini bukti bahawa pekerja-pekerja zoo menjaga haiwan dengan baik,” katanya.
Katanya lagi, zoo memainkan peranan penting dalam pendidikan, membantu kanak-kanak belajar mengenai spesies haiwan berbeza dari segenap pelosok dunia.
“Jika zoo ditutup, kanak-kanak akan membesar tanpa dapat lihat rupa sebenar gajah.
“Internet tidak sama, tiada apa yang dapat dibandingkan dengan pengalaman zoo buat kanak-kanak,” katanya.
Bagaimanapun, kata Reza, memberi makanan dan perlindungan buat haiwan-haiwan ini tidak cukup kerana mereka memerlukan penternakan dan pengayaan diet yang tepat.
Kerajaan sepatutnya berusaha mengikut standard antarabangsa dalam penjagaan haiwan di zoo, tambahnya.
Beliau berkata, zoo sepatutnya diterajui individu yang mempunyai minat mengenai haiwan atau mempunyai latar belakang berkaitan zoologi.
“Doktor haiwan, penjaga zoo dan kurator di lapangan sedaya upaya berusaha untuk memberi penjagaan terbaik buat haiwan-haiwan ini.
“Bagaimanapun, ada pihak atasan yang tidak layak menguruskan zoo, dan ini memberi kesan terhadap kebajikan haiwan,” katanya.