Lelaki ditemui terdampar, tak bermaya atas batu berhampiran Pulau Pangkor

Lelaki ditemui terdampar, tak bermaya atas batu berhampiran Pulau Pangkor

Punca kejadian belum dikenal pasti berikutan keadaan mangsa masih trauma serta lemah dan tidak dapat berkomunikasi dengan baik.

Seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun ditemui dalam keadaan lemah dan separa sedar terbaring di atas batu. (Gambar APMM)
LUMUT:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang tidak bermaya yang ditemui terdampar di atas batu berhampiran Teluk Dalam, Pulau Pangkor, petang semalam.

Pengarah APMM Perak, Shahrizan Raman berkata pihaknya menerima laporan orang awam sebelum sepasukan anggota bersama bot Benteng 6 segera ke lokasi kejadian dan melaksanakan misi ‘Medical Evacuation’ (Medevac) kira-kira jam 1.10 tengah hari.

“Setibanya di lokasi kejadian, seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun ditemui dalam keadaan lemah dan separa sedar terbaring di atas batu.

“Anggota bersama komuniti nelayan setempat telah memberi bantuan kecemasan dengan menyelamatkan dan membawa mangsa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrizan berkata punca kejadian belum dikenal pasti berikutan keadaan mangsa masih trauma serta lemah dan tidak dapat berkomunikasi dengan baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.